`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 27, 2016

Wanita Ini Berdikari Apabila Kemiskinan Membelenggu Dan Dugaan Anaknya Penghidap Penyakit Bengkak Hati



Gua Musang: Usianya baru 14 tahun ketika mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun lalu namun kematangannya sebagai wanita terserlah apabila dikurniakan dua anak.


Lebih menjadikan Nurul Hafizan Mat Razali, 19, dari Kampung Aring 2, di sini wanita berdikari apabila kemiskinan membelenggu keluarga kecilnya hingga memaksa suami, Muhammad Khairi Mat Zain, 23, bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur.

Dia juga diuji dengan keadaan anak kedua, Mohd Haiqal, setahun dua bulan yang menghidap penyakit bengkak hati ketika masih berusia dua bulan.

Semuanya terpaksa diharungi dengan hati tabah, lebih-lebih lagi ketika ini apabila hanya menghuni sebuah pondok usang dan uzur ekoran rumah sebelum ini hanyut akibat banjir dua tahun lalu.

Katanya, ujian demi ujian yang diturunkan Allah kepadanya mematangkan dia dalam hidup berumah tangga, sekali gus tidak menyesal menamatkan zaman bujang pada usia masih mentah.

“Selepas berkahwin, saya suami isteri mengambil keputusan hidup berasingan daripada keluarga kami untuk berdikari. Kami dikurniakan anak sulung, Fatira Aisya, 5, dan keadaan masih baik walaupun suami tiada kerja tetap ketika itu.

“Apabila banjir melanda, rumah dihuni hanyut dan ketika itu saya juga baru melahirkan Mohd Haiqal yang terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Krai hampir setiap bulan kerana penyakit hatinya.

“Semuanya menjadi tidak tentu hala ketika itu. Hanya pondok ini dibina ihsan penduduk kampung membolehkan kami berteduh.

“Suami pula sentiasa berusaha mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kecil kami sehinggalah dia diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.


Nurul Hafizan berkata, setiap ujian ditempuh mereka sekeluarga mematangkan diri dan dia bersyukur kesihatan anaknya juga semakin baik dan hanya perlu menjalani rawatan susulan.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya berharap ada insan prihatin yang boleh membina rumah baru untuknya sekeluarga menetap dengan lebih selesa.

“Sekarang memang tidak mampu bina rumah baru apatah lagi suami pun baru bekerja. Cuma pondok dinding zink ini sahaja tempat untuk berteduh,” katanya. -hm 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.