`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 5, 2016

Faktor “Folk Hero” Dalam PRN Sarawak

A Kadir Jasin


SAYA tidak menyentuh mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang sedang berjalan sekarang kerana dua sebab pokok.


Pertama, saya tidak pakar dalam hal politik negeri itu dan kedua, saya mahu berkecuali.

Namun untuk rekod, izinkan saya membuat sedikit pemerhatian rambang jarak jauh berdasarkan apa yang saya baca, dengar dan bincang dengan kawan-kawan yang lebih arif mengenai politik Sarawak.

1. Ada keistimewaan kepada PRN ini kerana ia adalah PRN pertama selepas era Tun Abdul Taib Mahmud selama 33 tahun.

2. Rakyat Sarawak, khususnya yang cergas dan faham politik, sudah letih (fatigue) di bawah pentadbiran Abdul Taib dan mahukan perubahan.

3. Sejak mengambil alih jawatan ketua menteri pada 1 Mac tahun lalu, (Tan Sri) Adenan Satem yang pada awalnya dianggap sebagai pengganti sementara berjaya membawa kelainan dan pada pandangan mata kasar, menjadi begitu popular dalam jangka masa yang singkat. 

4. Dia telah diangkat oleh media massa ke tahap wira rakyat (folk hero) dan berkemungkinan menterjemahkan kedudukannya menjadi undi.

Adenan: modal besar status "folk hero"
5. Walaupun Sarawak tersentuh teruk oleh masalah ekonomi, khususnya akibat kejatuhan harga petroleum mentah dan hasil pertanian desa, ia lebih terlindung daripada angkara politik nasional. 

6. Kemelut politik yang dicetuskan oleh skandal 1MDB, SRC International Sdn Bh dan “derma” RM2.6 bilion (atau lebih) dalam akaun peribadiPerdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak rasanya tidak mempengaruhi politik Sarawak seteruk ia mempengaruhi politik negeri-negeri lain.

7. Ini adalah kerana politik Sarawak terlindung daripasa politik nasional sebab ia diperintah oleh Barisan Nasional negeri yang tiada kaitan dengan parti-parti BN pusat.

8. BN Sarawak terdiri daripada parti-parti anak negeri dan dengan itu pengaruh BN pusat ke atas politik Sarawak adalah terhad.

9. Namun begitu, cara Adenan dan BN Sarawak menjalin dan mempamerkan perhubungan dengan Kerajaan Pusat, khususnya dengan Perdana Menteri, boleh memberi kesan negatif kepada keunikan Adenan dan peluang BN Sarawak menang besar.

10. Mohd Najib tetap beracun kepada sebilangan pengundi Sarawak, khususnya di bandar-bandar dan di kalangan pemilih yang berpendidikan tinggi

11. Parti-parti pembangkang, khususnya DAP, mempunyai harapan yang berpatutan untuk terus mengekalkan pengaruh di kawasan bandar di mana ramai pemilih Cina.

12. Kegagalan parti-parti Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR, menyetujui pembahagian beberapa buah kerusi mungkin memberi gambaran negatif kepada pemilih dan menjejaskan harapan mereka untuk terus mara seperti yang mereka lakukan pada PRN 2011.

13. Ada persamaan di antara kedudukan Adenan sekarang dengan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dalam Pilihan Raya Umum 2004. Abdullah menang besar selepas mengambil alih teraju pentadbiran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir selama 22 tahun. Pengundi Sarawak mungkin memberi sokongan yang serupa kepada Adenan kerana mengharapkan perubahan dan kelainan.

14. Cuma imej Adenan sebagai “folk hero” tercemar apabila beliau “merestui” tindakan menghalang beberapa orang pemimpin politik Semenanjung daripada memasuki Sarawak. Nampak seolah-olah beliau tidak demokratik dan takut cabaran.

Wallahuaklam. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.