`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, February 12, 2016

Ibu bapa bercerai, anak hak siapa?

Siapa kata bapa (atau ibu) tiada hak terhadap anak? Hanya kerana si bapa (atau ibu) memilih agama lain, tidak bermakna mereka hilang hak, cuma lain kali jangan tukar agama tanpa pengetahuan pasangan. Ia beri impak kepada semua, termasuk kami.
COMMENT
divorceSeorang ibu, seorang bapa…. dua orang anak. Apabila kedua-dua ibu bapa bercerai, anak milik siapa?
Ketepikan soal agama, bangsa dan kaum, tak usah merujuk kepada sesiapapun.
Bila satu keputusan dicapai, seorang anak kepada ibu, seorang lagi kepada bapa, lebih tepat, yang perempuan pada ibu yang lelaki pada bapa. Sekarang, apa pendapat kita?
Ya, saya tahu, kita tidak dapat keluar daripada merujuk kes penjagaan seorang bapa mualaf, Izwan Abdullah dan ibu Hindu, S. Deepa. Anggap sahaja saya tak bercakap mengenai mereka. Anggap kita bercakap tentang sepasang ibu bapa Hindu, adakah keputusan mahkamah untuk membenarkan seorang anak di bawah penjagaan bapa akan menjadi isu? Sama juga dengan si ibu, adakah penjagaan anak perempuan kepada ibu akan ditentang?
Katakanlah kedua-dua ibu dan bapa adalah beragama Islam, hak penjagaan tidak akan menjadi masalah termasuk jika mahkamah memutuskan untuk menyerahkan kedua-dua anak kepada salah seorang ibu atau bapa.
Panjangkan sedikit isu ini, katakan si ibu adalah Islam dan di bapa bukan Islam yang tidak mengubah agamanya (seperti di India, Indonesia, negara Barat dan sebagainya), penjagaan seorang anak diberi kepada bapa bukan Islam, apa reaksi anda? Adakah kita akan redha membenarkan anak kepada ibu Islam itu dipelihara oleh bapa bukan Islam?
Kita berehat sekejap, tarik nafas panjang-panjang, isu ini memang rumit dan sensitif…
Apabila perkara seperti ini berlaku dalam kalangan ibu bapa dua agama yang berlainan, kita akan terikut-ikut dengan emosi yang berpaksi kepada agama dan bukan common sense. Benar?
Oleh itu, hari ini, selepas merujuk kes Deepa, saya, seorang Hindu mahu bercakap mengikut common sense dan bukan emosi atau bersikap racist.
Pada pendapat saya, pihak mahkamah telah memberikan keputusan yang terbaik mengambil kira aspek parenting dan pilihan anak-anak itu sendiri.
Menurut berita, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Izwan Abdullah diberikan hak penjagaan anak lelaki berusia lapan tahun manakala S. Deepa diberikan hak penjagaan anak perempuannya yang berusia sepuluh tahun.
Keputusan itu juga dijustifikasi dengan mengambil kira hasil temuramah kedua-dua anak, di mana yang lelaki mahu bersama bapa manakala seorang lagi ingin bersama ibu.
Saya cuma tidak faham sebab hal ini dipanjangkan, mungkin kerana ia melibatkan dua agama berbeza dan anak-anak yang telah memeluk agama Islam. Bagi saya apapun, keputusan sudah diberikan, semuanya mengikut pilihan anak-anak.
Secara logiknya, kedua ibu dan bapa mempunyai hak terhadap anak-anak mereka. Kenyataan bahawa bapa iaitu Izwan tidak berhak dan ibu lebih berhak, bagi saya tidak logik (ketepikan hal agama). Kita semua tahu kedua-dua ibu bapa berhak ke atas anak masing-masing. Saya sendiri pernah menyaksikan ibu yang membenarkan si suami menjaga semua anaknya. Ia berlaku dalam kalangan orang Islam, Hindu, Kristian atau mana-mana agama. Jadi, ini bukan satu kes alien bila bapa diberi hak penjagaan.
Cuma apa yang ingin saya pinta kepada para ibu bapa yang berkeputusan mengubah agama pada masa hadapan, beranikan diri kalau anda berada di pihak benar, beritahu pasangan anda tentang niat dan fikirkan impaknya kepada anak-anak sebelum terburu-buru ambil bertindak mengejut. Ini memberi kesan negatif dan berpanjangan kepada ibu bapa dan anak-anak termasuk seluruh masyarakat. Tindakan Izwan mengubah agama, kemudian agama anak-anak tanpa pengetahuan ibu seharusnya ditegur.
Janganlah kerana seorang dua seperti anda, kes keluarga menjadi isu keagamaan dan setiap individu yang lain saling tuduh-menuduh dan menunjukkan rasa tidak berpuas hati. Kerana tindakan terburu-buru seorang individu, seluruh rakyat beri reaksi dan institusi kehakiman pula menjadi mangsa cemuhan. Fikir-fikirlah, sebaiknya, hadam keputusan itu secara terbuka.
Isu ini, antara dua orang, ibu dan bapa; bukan isu antara Islam dan Hindu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.