`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, August 24, 2015

Habislah Najib?

Ramai yang melihat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Haji sebagai paku terakhir kepada kareer politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Namun, ia tidak semudah itu kerana nyawa politik Najib kini berkait dengan nyawa 1MDB yang juga bersangkut-paut dengan nyawa perbendaharaan Malaysia.
Ceritanya mudah, hutang 1MDB RM42 bilion perlu dibayar – sama ada Najib terus menjadi perdana menteri mahupun tidak – kerana yang menjamin hutang 1MDB ialah kerajaan bukannya Najib.
“1MDB Global Investment Limited perlu menggunakan dana dalaman syarikat termasuk kesemua asetnya terlebih dulu. Jika semua langkah tersebut diambil dan syarikat masih kekurangan dana untuk menyelesaikan pinjaman berkenaan, barulah surat sokongan kerajaan menjadi efektif,” kata Najib.
Apa maksudnya secara mudah? 1MDB perlu menjual aset-asetnya terlebih dahulu untuk bayar hutang. Jika tidak mampu membayarnya, maka kerajaan Malaysia (bukan Najib) perlu membayarnya.
Oleh kerana ada “backup” sebesar kerajaan Malaysia, maka ramai yang sudi meminjam duit kepada 1MDB sebelum ini sehinggalah hutang ditimbunkan menjadi RM42 bilion.
Untuk membayar hutang, 1MDB mencuba pelbagai cara. 1MDB pernah merancang IPO bagi mencari dana, tapi gagal. Bukan itu sahaja, 1MDB juga menerbitkan sukuk Bandar Malaysia bernilai RM2.4 bilion untuk mencari dana dan kini timbul ura-ura Lembaga Tabung Haji membeli RM1.6 bilion atau 66% sukuk tersebut berdasarkan dokumen yang diledakkan di blog mengenai pembelian tanah TRX.
Di Parlimen, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah juga mengaku Tanjong Public Limited Company milik Tan Sri Ananda Krishnan membantu 1MDB mencari RM2 bilion dana untuk membayar hutang.
Selain daripada sukuk, rancangan IPO yang gagal, meminta bantuan Tanjong, 1MDB perlu mencari pembeli untuk aset-asetnya untuk membayar bunga hutang.
Antara aset-aset bernilai yang ada di tanah TRX dan Lapangan Terbang Sungai Besi yang diperolehnya secara murah oleh kerajaan Malaysia. Namun, tugas mencari pembeli menjadi semakin susah bagi 1MDB apabila kerajaan sendiri mengarah agar audit forensik dijalankan terhadap akaunnya.
Namun, ia tetap dapat mencari pembeli seperti Tabung Haji, yang sanggup membeli sekeping tanah kecil daripada 1MDB pada harga yang hampir 43 kali (RM2,773 sekaki persegi) daripada nilai yang diperoleh 1MDB (RM64 kaki persegi) daripada kerajaan secara tunai.
Meskipun rakyat marah, 1MDB tetap tidak membatalkan penjualan itu kepada Tabung Haji. Penasihat 1MDB Najib meminta Tabung Haji menjual tanah itu kepada pihak lain. Dalam erti kata lain, carilah pihak ketiga (yang tidak mampu dicari 1MDB) untuk membeli tanah tersebut tetapi duit RM188 juta yang dibayar Tabung Haji kekal di tangan 1MDB.
Kontroversi TH-1MDB kini membentuk satu cabaran besar bagi 1MDB untuk menjual aset-asetnya bagi membayar hutang. Jika penjualan sekeping tanah 0.63 hektar boleh mencetus kontroversi sebegini rupa, siapa lagi yang akan berurusan dengan 1MDB selepas ini?
Bagaimana 1MDB akan mencari dana pula selepas ini? Antara aset lain yang boleh membantu 1MDB menjana duit ialah dua penjana kuasa bebas (IPP) yang dibelinya pada 2012 iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd daripada Ananda dan Mastika Lagenda Sdn Bhd daripada Genting Sanyen.
Akan tetapi, kedua-dua IPP ini dibeli pada harga yang jauh tinggi daripada harga pasaran.
Apakah tarif elektrik akan dinaikkan selepas ini kerana TNB terpaksa membeli sumber elektrik yang mahal daripada 1MDB demi membantu 1MDB menjana keuntungan?
Jika tidak, lubuk dan tabung mana 1MDB akan mencari dana seterusnya untuk membayar hutang? Apakah nasihat penasihat 1MDB?
Jika segala usahanya mencari dana gagal, maka 1MDB tidak dapat membayar hutangnya. Dengan itu, surat sokongan kerajaan akan berkuat kuasa dan kerajaan yang perlu menanggung beban hutang 1MDB.
Sesiapa yang menggantikan Najib akan juga berdepan dengan masalah 1MDB ini. 1MDB tidak boleh ditutup begitu sahaja. 1MDB sudah membesar menjadi masalah negara dan rakyatnya. Ia bukan sahaja setakat masalah yang berkait dengan Najib.
Ada sesiapa di Umno yang sanggup mengambil alih bom jangka jika Najib diturunkan buat masa ini? Jaga-jaga kerana kemoterapi pun tidak dapat membunuh kanser ini tanpa membunuh jasadnya. Kontroversi 1MDB-TH ini hanyalah isu kecil jika dibandingkan dengan isu 1MDB sebenarnya.
Oleh itu, Najib tak habis lagi.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.