`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, August 24, 2015

Habislah Najib? – Bahagian 2



Artikel Habislah Najib? ditulis pada Mei selepas menghuraikan mengapa Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal sebagai perdana menteri meskipun ramai meramalkan beliau akan habis pada Jun mahupun Julai ketika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletup.
Kini, persoalan mengenai riwayat politik Najib bergema lagi dengan rancangan undi tidak percaya terhadap beliau.
Undi tidak percaya ini bersifat demokrasi pada asal murninya. Namun, apabila ia diletakkan di dalam konteks Malaysia, ia satu perkiraan politik yang melibatkan pengkhianatan dan juga rundingan keuntungan politik.
Masalahnya, jika pembangkang sudah berjaya mendapat 30 ahli Parlimen BN untuk membuang Najib, sudah tentu golongan yang sama ini juga mempunyai kuasa menentukan siapa perdana menteri seterusnya.
Pada ketika itu, mengapa mereka harus lagi berpegang pada kata-kata Dr Mahathir untuk mengekalkan BN sebagai kerajaan sekiranya mereka boleh melantik seseorang di kalangan mereka sendiri menjadi perdana menteri ke-7?
Dengan godaan kuasa yang sebegitu besar dan impian untuk melihat 30 ahli Parlimen BN yang khianat itu akan digolongkan sebagai katak yang bakal meretakkan kestabilan BN, cadangan Dr Mahathir agar kerajaan BN dikekalkan hanyalah angan-angan.
Barangkali adalah lebih baik Dr Mahathir mencuba taktik mengisytiharkan diri keluar Umno terlebih dahulu sepertimana dilakukan beliau ketika mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah melepaskan jawatan perdana menteri.
Bukan itu sahaja, cara pemikiran pembangkang yang meletakkan kepentingan politik masing-masing menjadi keutamaan dalam menjayakan rancangan undi tidak percaya terhadap Najib juga merupakan masalah besar.
Tiada siapa sanggup meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan parti serta diri sendiri.
Sebelum rancangan ini dapat dilaksanakan, sudahpun ada parti menuntut itu dan ini sebagai balasan menyokong rancangan tersebut. Dengan perbalahan yang terus berlaku di kalangan pembangkang, tidak dapat dibayangkan kecelaruan politik yang bakal berlaku selepas berlakunya undi tidak percaya terhadap Najib.
Apakah mereka boleh bersetuju dengan calon perdana menteri yang baharu? Apakah mereka boleh bersetuju siapa yang bakal memasuki Kabinet, memandangkan DAP masih tidak dapat berhenti menyerang PAS sehingga hari ini?
Yang bakal wujud bukanlah satu kerajaan peralihan, tapi satu kerajaan tergantung yang tidak mampu membuat keputusan penting demi negara dan ekonomi kerana perbalahan yang terus berlaku.
Selain itu, peratusan kaum di kalangan ahli Parlimen yang menyokong undi tidak percaya kepada Najib dan melantik perdana menteri baharu juga akan menjadi pertikaian.
Sekiranya komposisinya tidak mewakili komposisi pecahan kaum rakyat Malaysia, percayalah keadaan negara akan menjadi mudarat berbanding hari ini kerana ada pihak akan memainkan sentimen dan merasakan kerajaan yang ada sudah dirampas atau jatuh ke tangan tidak sepatutnya.
Persoalan lebih penting ialah, apakah ada calon yang sesuai menggantikan Najib hari ini, yang akan meredakan keadaan dan diberi peluang untuk mentadbir daripada sibuk menangkis pergerakan politik dan menjawab serangan-serangan daripada para pengkritik?
Jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih, apakah Umno boleh menerimanya tatkala Tan Sri Muhyiddin Yassin masih timbalan presiden Umno? Bolehkah Umno menerima Muhyiddin tatkala Zahid ialah timbalan perdana menteri? Dua soalan mengunci Umno daripada bergerak dan akan terus berbalah jika Najib tidak kekal sebagai perdana menteri.
Jika ada pihak ketiga (pilihan pembangkang) selain Zahid dan Muhyiddin dipilih sebagai pengganti, beliau akan berada dalam keadaan getir kerana bila-bila masa sahaja beliau bakal menghadapi undi tidak percaya oleh ahli-ahli Parlimen BN apabila separuh daripada 30 ahli Parlimen BN yang berpaling tadah kembali ke pangkuan BN. Keadaan itu akan hanya membawa Malaysia ke ketidakstabilan berbanding sekarang.
Sehingga hari ini, sebenarnya tiada siapa termasuklah Dr Mahathir, yang ada idea penyelesaian terhadap masalah politik negara dan ekonomi.
Yang ada ialah idea meneruskan perbalahan sambil melihat nilai ringgit, simpanan negara dan bursa terus menjunam sama ada di dalam dan luar Umno.
Oleh itu, buat kali keduanya, Najib tidak habis lagi.
Dengan menjunamnya nilai ringgit, harga minyak sedunia, pelaburan asing dan jumlah pelancong ke dalam negara, waktu ini adalah lebih penting untuk memastikan ekonomi negara selamat dan rakyat boleh meneruskan kehidupan seperti biasa ekoran tindakan negara China menurunkan nilai renmenbi daripada menentukan siapa yang bakal menang.
Memandangkan tiada jalan penyelesaian yang munasabah, dan Najib dilihat masih akan terus mengekalkan kuasa dan pembangkang masih bercelaru, apa kata semua berhenti menyerang dan memberikan Najib ruang dan masa mentadbir negara daripada membiarkan semua lemas bersama?
Ini satu situasi menang menang di mana Najib boleh menggunakan masa memulihkan ekonomi, nilai ringgit dan menyelesaikan masalah 1MDB sebagai insentif memulihkan imej politik serta keyakinan rakyat terhadapnya dan pembangkang bakal memperoleh insentif tertinggi dengan Najib menerajui BN di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Biarlah rakyat yang menentukan nasib Najib dan BN di PRU14.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.