Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil jalan mahkamah terhadap The Wall Street Journal (WSJ) tidak lagi mampu menyelamatkannya, sebaliknya hanya membeli sedikit masa untuk memanjangkan kuasanya, kata bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin.
Bekas menteri penerangan itu berkata, kini terserah kepada pemimpin Umno menentukan nasib Najib, sama ada mengekalkannya atau menyingkir demi menyelamatkan parti.
"Mahkamah tidak lagi boleh menyelamat dan membersihkan dirinya. Ia sekadarkan dapat memanjangkan kuasanya buat sementara dalam keadaan tidak diyakini rakyat; ketidakstabilan politik dan kekeruhan ekonomi.
"Sekarang hanya terserah kepada para pemimpin Umno untuk memutuskan sama ada untuk membiarkan keadaan ini terus berlaku sehingga berlaku keadaan yang lebih buruk dan lebih memalukan.
"Mereka mesti membuat pilihan yang bijak dan keputusan tegas berani sama ada untuk menyelamatkan Najib atau untuk menyelamatkan Umno sekalipun terpaksa mengorbankan Najib," katanya melalui blog Zamkata.
Beliau berkata, susulan pendedahan demi pendedahan media antarabangsa itu, jelas tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini ada asasnya.
"Dengan pendedahan berasas yang terus menerus dilakukan oleh WSJ maka rakyat semakin dapat melihat kebenaran Tun dalam alasan tindakannya untuk menyelamatkan Umno dan negara," katanya.
"Jika Umno disokong oleh orang-orang menjiwai perasaan rakyat maka mereka akan dapat membuat keputusan yang tepat dalam keadaan yang runcing," katanya.
Beliau berkata, susulan dakwaan terhadap Najib berhubung dana berjumlah RM26 bilion yang disalurkan ke akaun peribadinya, orang Melayu kini tiada tempat bergantung.
"Orang Melayu tiada lagi tempat kuat untuk bergantung, PAS juga sedang runtuh, Umno berada pada taraf moral yang cukup rendah.
"Apakah ini yang dilihat oleh media asing sebagai satu peluang untuk meruntuhkan kuasa Melayu dan Islam yang bertakhta di negara ini sejak lebih 60 tahun lalu," katanya.
Beliau turut berkata, keadaan itu mengakibatkan Najib tidak senang duduk dan berada di dalam dilema kerana apa sahaja yang cuba dilakukannya tidak akan berupaya mengembalikan imejnya.
"Najib berada dalam keadaan dilema; jika berundur mengesahkan tuduhan dan jika tidak berundur maka sudah jelas kepadanya keadaan tidak lagi memihak padanya. Apa juga yang dilakukannya tidak lagi akan dapat memulihkan imejnya.
"Jika kehendak rakyat dan Allah berlaku maka inilah pertama kali seorang perdana menteri Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam jatuh secara yang paling tidak terhormat. Tentunya sekaligus melibatkan maruah Umno," kata Zainuddin.
Umno juga, katanya, sudah hilang kepercayaan orang Cina manakala kepercayaan orang Melayu sedang terhakis dengan parahnya.
"Najib sebagai pemimpin besar mereka berada dalam keadaan cedera parah, skandal kewangan yang berlaku menyebabkan mereka membuat konklusi mudah untuk menolak 'sahlah cerita selama ini Umno parti rasuah'," kata bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu.
"Nafas terakhir Umno sekarang berada di tangan pemimpin-pemimpin Umno sendiri sebelum rakyat mencabutnya".
- TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.