`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, August 1, 2015

Najib Serah Surat Tawaran Haji Kepada 1,200 Pemimpin Masyarakat

image


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu haji 1436H/2015 kepada 1,200 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Majlis penyerahan surat tawaran tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd(1MDB) berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Najib dalam ucapannya berkata inisiatif untuk melaksanakan program itu tercetus susulan tinjauannya mendapati masih ramai di kalangan kumpulan berkenaan tidak berpeluang mengerjakan haji, antaranya disebabkan kekangan kewangan.
Bersimpati dengan keadaan itu, beliau yang amat menghargai sumbangan kumpulan yang begitu berperanan di peringkat akar umbi itu memutuskan supaya diwujudkan satu program khas bagi menaja golongan sasar untuk menunaikan haji.
“Saya rasa hiba bila dapat tahu ada imam, ketua kampung dan JKKK yang amat berjasa ini tidak dapat menunaikan haji. Alhamdulillah setelah masuk kali kelima dijalankan kita telah berjaya menghantar seramai 3,400 jemaah termasuk penerima hari ini…inilah hasrat yang ingin saya lihat dan tunaikan,” katanya.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Pada majlis itu, Najib turut menarik perhatian bagaimana masyarakat kini lebih mempercayai persepsi daripada mencari kebenaran sehingga terjebak dalam menyebarkan sesuatu perkara yang belum pasti kesahihannya.
Menjadikan pembelian sekeping tanah oleh Lembaga Tabung Haji daripada 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) sebagai contoh, Najib berkata ia dimanipulasi oleh ‘permainan jari jemari’ sehingga mencetuskan persepsi di kalangan rakyat bahawa ia akan memberi kesan tidak baik kepada penyimpan Tabung Haji.
Namun, katanya, apabila kebenaran terserlah, persepsi negatif itu turut berubah sehinggakan ramai mula mengakui pembelian tanah di lokasi strategik itu adalah baik dan menguntungkan.
“Tetapi oleh kerana persepsi, fitnah memenangi fikiran rakyat maka satu kebaikan yang dibuat boleh menjadi sebaliknya semata-mata pembelian itu mempunyai kaitan 1MDB,” katanya.
“Sebab itu saya harap anda yang akan mengerjakan haji ini dapat mendoakan supaya negara dan kepimpinan negara dapat ditentukan oleh kita sendiri, bukannya oleh orang lain melalui persepsi,” katanya.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.