`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, June 19, 2015

Nasib Melayu-Islam Sekiranya BN Tewas

A Kadir Jasin

BANYAK orang bertanya saya: Apa akan terjadi kepada Malaysia, orang Melayu dan agama Islam jika Barisan Nasional (BN) kalah?

Ini cerita panjang dan soalan ini timbul sejak pilihan raya umum 2008 lagi, apabila BN di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Keadaan menjadi lebih buruk bagi BN, apabila di bawah pimpinan Mohd Najib Abdul Razak, pencapaiannya lebih teruk dalam PRU 2013.

Tetapi sebelum saya cuba membaca bola kristal atau air di dalam mangkuk ala Nujum Pak Belalang untuk mencari jawapan kepada soalan itu, izinkan saya membuat kenyataan berikut:-

1. Kemungkinan BN kalah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tetap ada walaupun Pakatan Rakyat (PR) sudah terkubur akibat ketidakserasian DAP-PAS.

2. Kalau PR kini hanya wujud dalam bentuk prinsip, BN hampir-hampir tidak relevan lagi di bawah pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak. Yang wujud dan diutamakan oleh Mohd Najib hanyalah Umno dan, buat sementara waktu ini, parti-parti BN Sarawak.

3. Parti-parti BN Sarawak relevan kepada Mohd Najib kerana pilihan raya dewan undangan negeri Sarawak perlu diadakan tahun ini atau hadapan dan beliau sangat-sangat memerlukan kemenangan di negeri itu.

4. Parti-parti BN pusat hampir-hampir tidak dipedulikan atau dibawa berunding dalam perjuangan hidup-mati beliau. Mohd Najib hanya mengadakan perhimpunan solidariti (perpaduan) dengan Umno – bukan sekali, tetapi berulang kali.

Mohd Najib gembira dijulang Pemuda Umno
 5. Ini adalah manifestasi dendam kesumat dan Mohd Najib terhadap parti-parti bukan Bumiputera BN, khususnya MCA dan Gerakan, kerana gagal menyekat tsunami Cina pada PRU 2013.

6. Selepas PRU 2013, status MCA, Gerakan dan MIC setaraf dengan PPP sekadar membanyakkan bilangan. Manifestasi ketidakpedulian Mohd Najib itu diserlahkan oleh kemelaratan krisis MIC. Ini cerita guru “ponen”. Bila guru macan itu jaga kelas, budak-budak nakal belakang bilik darjah bermaharajalela.

7. Mohd Najib meletakkan seratus peratus kelangsungan (survival) politik beliau dan BN kepada Umno. Beliau mengharapkan Umno menyokong beliau dan orang Melayu menyokong Umno.

8. Mohd Najib sangat yakin orang Melayu-Bumiputera serta orang miskin luar bandar boleh disogok untuk terus menyokong beliau. Yang terbaru, walaupun kewangan negara dalam keadaan genting dengan hutang bertimbun, Mohd Najib mengisytiharkan bonus raya untuk sejuta lebih kakitangan awam.

9. Beliau yakin mata dan telinga orang Melayu-Bumiputera serta orang miskin luar bandar boleh ditutup dengan BR1M agar tidak menghiraukan isu-isu genting seperti 1MDB, Felda/FGV dan PFI serta ekonomi yang menurun, harga barang dan perkhidmatan yang semakin mahal akibat pelaksanaan GST dan banyak lagi isu yang menekan. [Anggaran terbaru Bank Dunia mengatakan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.5 peratus saja tahun ini berbanding enam peratus tahun lalu.]

PM tenggelam dalam lautan manusia di Sabah

10. Harapan pembangkang memenuhi aspirasi pengundi dan rakyat jelata pudar berikutan penyingkiran golongan profesional (umarak) daripada kepemimpinan PAS dalam pemilihan 4 Jun lalu dan perpecahan PR ...Jun lepas.

11. PAS kini dikuasai oleh golongan agama (agamawan) akan menguncup menjadi parti dakwah/hudud tanpa kepakaran untuk berdakwah kepada khalayak pelbagai kaum dan agama.

12. Besar kemungkinan agamawan yang kini menerajui PAS lebih mudah dipujuk dan digula-gulakan untuk menyertai BN melalui gagasan perpaduan dengan Umno.

13. Akhir sekali, kita mungkin mengalami nasib yang serupa dengan Togo. Kajian mengenai kegembiraan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015 mendapati rakyat Togo adalah yang paling tidak gembira di dunia. Tetapi tidak lama selepas laporan itu terbit, Presidennya, Faure Gnassingbe menang penggal ketiga dengan mendapat 59 peratus undi. Dinasti Gnassingbe memerintah Togo sejak tahun 1967 dan Togo adalah negara ke-26 termiskin di dunia. Natijahnya demokrasi tidak semestinya menghasilkan kepemimpinan dan pemerintahan unggul.

Togo: Rakyat tak gembira, Presiden menang juga
Kalau Ditakdirkan BN Kalah 

Dengan takdir pembangkang menang (bukan sangat kerana mereka kuat) tetapi kerana pengundi dan raakyat jelata menyampah dengan BN, analisis saya adalah seperti berikut:- 

1. Setelah menyaksikan apa yang berlaku di Selangor (negeri pemastautin saya) dan Pulau Pinang yang diperintah oleh pakatan pembangkang sejak 2008, tidak ada perubahan besar akan berlaku kepada orang Melayu dan agama Islam.

2. Kita telah melihat kedaifan orang Melayu Kelantan di bawah pemerintahan PAS sejak awal Merdeka. Setelah PAS menyertai pakatan pembangkang pun nasib orang Melayu Kelantan sama saja – mundur dan miskin.

3. Orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain akan terus menikmati hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh institusi raja berperlembagaan.

4. Orang Melayu dan kaum Bumiputera lain akan terus “digula-gulakan” seperti yang dilakukan oleh BN selama ini dan sudah pun ditiru oleh pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang demi mendapatkan undi majoriti mereka. Yang mungkin berbeza hanya kaedahnya saja.

5. Parti atau pakatan mana pun yang memerintah memerlukan sokongan Bumiputera kerana mereka bukan saja majoriti, tetapi bilangan mereka lebih pantas berkembang berbanding Cina dan India.

6. Parti atau pakatan mana pun yang memerintah memerlukan sokongan orang Melayu-Bumiputera kerana mereka menguasai pentadbiran awam, polis dan tentera.  Kakitangan awam, polis dan tentera yang didominasi oleh orang Melayu-Bumiputeramudah dilembutkan hatinya melalui kenaikan gaji biarpun tidak banyak mana.

7. Orang Melayu-Bumiputera miskin mudah diambil hatinya dan ditambat taat setianya dengan menaikkan kadar subsidi pendapatan ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

8. Pakatan pembangkang akan menuai hasil yang lumayan dengan mengatakan bahawa kenaikan subsidi dan gaji adalah hasil penghapusan pemborosan, gaya hidup mewah, salah guna kuasa dan rasuah zaman BN.

9. Sesiapa pun yang menggantikan BN akan menjadi lebih popular dan diyakini jika berani mengambil tindakan yang lebih tegas seperti menyiasat, mendakwa dan menghukum pemimpin BN dan tali barut mereka atas kesalahan jenayah.

10. Penambahan subsidi pendapatan kepada orang Melayu-Bumiputera akan juga menguntungkan orang miskin daripada semua bangsa dan kaum kerana mereka juga akan mendapat layanan yang serupa.

11. Hal-hal berkaitan agama Islam dan adat resam orang Melayu tidak akan dan tidak boleh disentuh sesuka hati kerana ia berada bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu. Pengalaman kerajaan pembangkang di Selangor dan Perak cukup untuk meyakinkan mereka bahawa “kuasa” Raja-raja Melayu terlalu sensitif untuk diapa-apakan. Hanya pendirian Raja-raja Melayu sahaja yang boleh menjejaskan Islam dan adat resam Melayu.

12. Apabila orang Melayu-Bumiputera sudah diambil hatinya melalui penambahan subsidi pendapatan, kenaikan gaji dan pembaikan syarat perkhidmatan, kerajaan baru bolehlah mengisi tuntutan orang Cina dan India dengan lebih mudah.

13. Orang Cina dan India, khususnya kelas perniagaan dan ikhtisas (profesional), lebih tinggi tuntutannya dan mereka inilah yang akan mempengaruhi dasar dan pendekatan pengganti BN dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

14. Mereka pasti menuntut hak dan peranan yang lebih luas dalam penentuan dasar-dasar negara, khususnya yang berkaitan ekonomi, pendidikan dan guna tenaga.

15. Mereka pasti menuntut penyertaan yang lebih luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang kini didominasi oleh Bumiputera.

16. Dalam sfera inilah kuasa dan pengaruh Bumiputera paling tercabar. PR pastinya tidak akan memberi keutamaan kepada usahawan Bumiputera yang dilihat sebagai proksi atau tali barut parti-parti BN dan akan menjadikan kegagalan korporat (corporate failure) GLC dan GLIC sebagai alasan meminggirkan eksekutif Bumiputera.

17. Pembatalan dan perundingan semula kontrak, konsesi dan pinjaman mudah akan menjadi amalan seperti yang sudah dilihat berlaku kepada perjanjian air dan konsesi lebuh raya bertol di Selangor.

18. Tanda tanya besar sekarang hanyalah sama ada pakatan pembangkang boleh dipulihkan tanpa PAS dan kembali kuat sebelum PRU akan datang.

19. PAS boleh memilih untuk menjadi parti dakwah yang berharapan menang hanya di negeri-negeri miskin seperti Kelantan atau terus berkongsi dengan DAP dan PKR untuk memerintah negara.

20. Pakatan pembangkang masih boleh berkuasa jika mendapat sokongan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah. Parti-parti suku kaum ini umumnya bebas daripada pengaruh BN pusat dan mungkin terbuka kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang jika ditawarkan “pakej autonomi” yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Nasib Melayu Pi Mai Tang Tu

Kesimpulannya, nasib orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam mungkin tidak lebih baik daripada di bawah BN sekiranya pakatan pembangkang memerintah Malaysia.

Tetapi nasib mereka juga tidak akan menjadi lebih buruk di bawah pakatan pembangkang. Tetapi orang Melayu-Bumiputera yang pandai memainkan peranan dan tahu mengambil kesempatan mungkin mendapat faedah daripada kerajaan baru.

Perkhidmatan awam, polis dan tentera kekuatan Melayu-Bumiputera
Kalau orang Cina menggunakan kekuatan ekonomi dan orang India menggunakan kekuatan profesional untuk mempengaruhi kerajaan, orang Melayu-Bumiputera boleh menggunakan bilangan mereka yang ramai dalam perkhidmatan awam, polis dan tentera sebagai pengimbang (leverage).

Bagi rakyat Malaysia amnya, keadaan mungkin menjadi lebih baik jika politik dan ekonomi negara diuruskan dengan lebih berhemah, pembaziran dan pemborosan wang negara diberhentikan dan rasuah serta salah guna kuasa disekat.

Pakatan pembangkang tidak boleh menganaktirikan orang Melayu-Bumiputera dan orang Islam jika mereka mahu mentadbir secara adil sambil mengekalkan keamanan negara untuk jangka masa panjang.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.