`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, June 9, 2015

ANNUAR BIDAS MAHATHIR YANG JADIKAN ROSMAH SEBAGAI ISU MENYERANG NAJIB SEDANGKAN TAHUN LALU LANCARKAN BIOGRAFINYA.



Datin Seri Rosmah Mansor tidak seharusnya dijadikan modal serangan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana beliau bukanlah baharu mengahwini perdana menteri, kata Tan Sri Annuar Musa. 

Bekas menteri kemajuan luar bandar itu juga berasa hairan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberikan pujian kepada Rosmah sewaktu melancarkan buku biografi isteri perdana menteri itu pada tahun lalu tetapi kini menjadikan Rosmah modal melancarkan serangan kepada Najib. 

“Kalau setakat nak kata kita tak suka Najib sebab ada Rosmah, dia baru kahwin ke dengan Rosmah? Adakah Rosmah ini satu makhluk baru yang baru wujud dalam sistem yang kita lihat depan kita? 

“Sejak Najib jadi ketua Pemuda, Datin Rosmah itulah. Sampai sekarang ini pun. Kenapa sekarang baru nak jadi isu. Sebelum ini siapa lancar biografi Rosmah? Dr Mahathir baru setahun lepas. Puji meleret-leret lagi. Takkan sekarang nak dijadikan alasannya,” katanya di Kuala Lumpur malam tadi. 

Beliau berkata demikian dalam program “Bicara Tokoh: Kupasan Isu-Isu Politik Semasa” yang dianjurkan Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia. 

Annuar berkata perbelanjaan mewah Rosmah tidak seharusnya dipertikaikan kerana sesiapa sahaja berhak berbelanja mewah jika mempunyai kemampuan. 

Katanya, selagi kemewahan itu tidak diperoleh daripada sumber-sumber yang haram maka tidak sesiapa pun yang berhak mempersoalkannya. 

“Rosmah beli beg mahal? Ada duit, dia belilah. Saya pakai LV. Saya ada duit, saya belilah. Salahkah pakai beg LV? Tak salah. Yang salah kalau pakai duit haram. 

“Saya jadi pengerusi Mara diberi Proton tetapi di rumah saya ada Porsche. Salah ke Annuar Musa pakai Porsche?” soalnya. 

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata walaupun bertubi-tubi serangan yang diberikan kepada Najib, namun perdana menterilah yang terpaksa menanggung saki baki permasalahan yang ditinggalkan Dr Mahathir. 

Katanya, setiap kali Dr Mahathir berdepan krisis politik maka pengikut Melayu juga akan berpecah dan ia dapat dibuktikan sewaktu tempoh peralihan timbalan perdana menteri ketika itu. 

“Siapa yang dapat menafikan apabila Dr Mahathir berkrisis dengan Musa Hitam, sebahagian daripada kekuatan Umno hilang. Kemudian bila Dr Mahathir berlawan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dalam kawasan saya yang mengikut Tengku ke Semangat 46 sampai sekarang tak kembali kepada Umno. 

“Sebahagian kekuatan Umno hilang apabila Dr Mahathir berkrisis dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Siapa yang dapat nafikan sebahagian kekuatan Umno hilang? Setiap ada pergeseran, kekuatan parti makin hilang, makin hilang, makin hilang. 

“Saya yakin kalau pergeseran ini diteruskan antara Dr Mahathir dengan Najib, kekuatan tidak bertambah tetapi kekuatan terus hilang,” katanya. 

Sementara itu, Annuar turut mempertahankan ketidakhadiran Najib pada sesi dialog #NothingtoHide bersama NGO kerana ia dilakukan semata-mata untuk mempertahankan maruah Dr Mahathir. 

Katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan Najib untuk berdepan dengan Dr Mahathir tetapi apa yang dibimbangkan keadaan hadirin yang tidak dapat mengawal emosi. 

“Sebab Najib ada telorlah dia tak pergi. Bayangkan jika Najib pergi pada masa itu. Dalam dewan penuh 1,200 orang, wartawan ada 200 orang. Di luar beribu lagi langgar pintu suruh buka nak masuk lagi. Tiada tiket pun nak masuk. 

“Adakah kita bayangkan seorang perdana menteri datang dalam keadaan kacau bilau masuk dewan kemudian berlawan dua orang? Itu ke kelas perdana menteri? 

“Adakah 1,200 orang itu menyokong Dr Mahathir dan tiada seorang pun menyokong Najib? Apakah tidak mungkin ada orang yang akan menghina Dr Mahathir yang kita sayangi? Mungkin dia kena ‘boo’, dia kena baling macam-macam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.