`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 6, 2015

GST, bukan hudud, jatuhkan majoriti BN di Rompin, kata Tuan Ibrahim

Naib Presiden PAS Datuk Tan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama calon PAS dalam PRK Rompin, Nazri Ahmad (kiri) pada sidang media selepas keputusan PRK Rompin diumumkan, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 Mei, 2015.Naib Presiden PAS Datuk Tan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama calon PAS dalam PRK Rompin, Nazri Ahmad (kiri) pada sidang media selepas keputusan PRK Rompin diumumkan, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 Mei, 2015.Kempen PAS menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tidak mengetengahkan isu hudud punca kejayaan PAS mengurangkan majoriti kemenangan Barisan Nasional di Rompin sehingga 40%, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau yang mengetuai jentera pilihan raya PAS di Rompin berkata isu hudud hanya disebut "sekali-sekala saja" ketika kempen.
"Dalam mesyuarat bilik gerakan pun, ia tidak ada dalam agenda kerana tidak ada kena mengena dengan orang Rompin," kata Tuan Ibrahim kepada The Malaysian Insider.
Tuan Ibrahim berkata, beliau percaya jika momentum itu diteruskan, ia dapat menyebabkan kemenangan Pakatan Rakyat di Pahang pada PRU akan datang.
"Kami hanya perlukan peningkatan undi 5% saja untuk menang di Pahang. Di Rompin, peningkatan undi PAS adalah 10%," katanya yang juga pesuruhjaya PAS Pahang.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mempertimbangkan suara yang disampaikan rakyat melalui PRK Rompin dengan menarik semula GST.
Tuan Ibrahim setuju dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakub agar suara hati rakyat bawahan diambil kira.
"Saya sependapat dengan MB Pahang iaitu kerajaan perlu mendengar suara hati rakyat yang disampaikan melalui PRK Rompin.
"Bagi saya kejayaan menurunkan hampir separuh majoriti BN adalah kerana kempen kami iaitu 'Satu undi untuk PAS, satu undi untuk tolak GST' yang kami jadikan slogan kempen kami dari awal,” katanya.
Semalam, Adnan berkata meskipun penurunan peratusan keluar mengundi merupakan antara faktor kemerosotan majoriti BN, pengundi juga cuba menyampaikan mesej kepada kerajaan susulan keputusan tersebut.
"Pengundi cuba menyampaikan mesej kepada kerajaan, GST dan Felda adalah isu yang memberikan kesan kepada rakyat dan kita perlu tangani," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Rompin, semalam.
Calon PAS Nazri Ahmad berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 15,114 pada PRU13 lalu kepada 8,895 undi, iaitu pengurangan sehingga 40%.
Nazri mendapat 14,901 undi manakala calon BN, Datuk Hassan Ariffin memperoleh 23,796.
Tuan Ibrahim berkata PAS juga menang di 5 peti undi termasuk 3 di kawasan Felda yang selama ini tidak pernah dimenangi parti Islam itu, iaitu Felda Keratong 4 dan 2, serta Bandar Muadzam.
"Isu rumah jadi isu utama bagi generasi kedua Felda. Janji perdana menteri hendak turunkan RM35,000 harga rumah kepada RM90,000 tidak diyakini oleh mereka kerana sebelum ini kerajaan pernah janji nak turun ke RM60,000 saja," katanya.
PAS turut menang di peti undi Piangu dan Bandar Baru Rompin yang mempunyai ramai pengundi Cina, katanya.
"Kempen kami di kalangan orang Cina juga isu GST, satu undi PAS, satu undi untuk menolak GST,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata pertembungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Najib juga memberikan bantuan kepada kejayaan PAS menurunkan undi BN di Rompin.
"Tun Dr Mahathir juga ada kesan di Rompin. Tun bantah GST. Bila kami pun kempen membantah GST, ia memberikan kesan mendalam kerana GST ini kena kepada semua orang," katanya kepada The Malaysian Insider.
"BN cuba jadikan PRK Rompin sebagai 'moral booster' kepada PRK Permatang Pauh. Sebab itu, walaupun kekosongan kerusi Permatang Pauh berlaku terlebih dulu, namun PRK Rompin diadakan lebih awal.
"Namun perancangan ini gagal. Kami harap Rompin boleh bantu Permatang Pauh," katanya merujuk kepada PRK Permatang Pauh yang akan berlangsung esok.
Beliau juga berpendapat perpecahan dalaman BN susulan perebutan calon antara faktor pengurangan undi.
"Kalau selama ini, kempen Puteri Umno dari rumah ke rumah antara jentera Umno yang berkesan, kali ini kita tidak jumpa mereka," katanya sambil menambah ahli muda Umno mahukan calon di kalangan mereka.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.