`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, April 5, 2015

[VIDEO & GAMBAR] Kapten Lee: Helikopter Terhempas Bukan Kerana Cuaca Buruk


Seorang juruterbang helikopter yang menjadi saksi di udara berhubung tragedi korban enam penumpang dalam helikopter yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada petang Sabtu, menceritakan dia melihat pesawat malang itu menjunam hingga ke tanah dan mengeluarkan asap hitam.

Mahu dikenali sebagai Kapten Lee, dia yang ketika itu membawa penumpang dari Senai, Johor ke Subang memberitahu laluannya sama dengan helikopter tersebut dan sempat berkomunikasi antara mereka untuk memaklumkan keadaan waktu dan ketinggian.

Katanya, menjadi suatu yang biasa sebagai juruterbang untuk memerhatikan mana-mana kapal terbang atau helikopter yang berada di sekelilingnya.

“Jadi sampai sahaja di Kajang, saya nampak satu helikopter IGB memang keluar dan menuju ke Kajang sedang turun. Bila saya nampak, saya sambung terbang.

“Dalam dua tiga minit, bila saya pandang balik helikopter tu, saya nampak ia dah menjunam, muncung helikopter ke bawah dan saya perhatikan sampai helikopter tu jatuh ke tanah, keluar asap hitam,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Tambah Kapten Lee, pada ketika kejadian cuaca kelihatan cerah walaupun hujan panas, namun dia menafikan adanya hujan ribut.

“Berdasarkan pengalaman saya, yang jatuh tu bukan disebabkan cuaca. Terpulang pada siasat.

“Rasa ngeri. Selepas kejadian, saya terus maklum kepada pengawal di menara kawalan,” katanya yang terpaksa meneruskan perjalanan bersama penumpangnya.

Semalam, helikopter jenis S365 milik IGB Corporation, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang. -therakyatpost


Najib arah siasatan penuh nahas helikopter di Semenyih



SEMENYIH: Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu siasatan penuh rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter di Semenyih petang semalam.

Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang.

Perdana menteri menjelaskan bahawa mengikut prosedur beliau tidak boleh mengesahkan identiti mangsa selagi belum disahkan oleh pihak forensik.

"Namun berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai, tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangannya kepada kerajaan, parti dan negara," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas di Kampung Sungai Pening, Semenyih di sini malam ini.

Najib yang nyata sedih dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu kehilangan yang amat besar buat diri dan keluarganya memandangkan Jamaluddin adalah kenalan sejak zaman universiti lagi selain amat rapat dari segi sejarah perjuangan dan kerjaya politik.

"Saya anggap Tan Sri Jamaluddin Jarjis seorang yang berkebolehan tinggi, banyak jasanya kepada kerajaan, parti dan negara. Ramai kenalannya di dalam dan luar negara," katanya mengenai Jamaluddin yang pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

"Jamaluddin telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat," kata Najib sambil menambah kata, Jamaluddin juga terus banyak memberi nasihat dan pandangan kepadanya walaupun tidak lagi menjadi duta.

Najib, yang dilihat cuba menahan sebak pada sidang media itu, berkata: "Oleh itu kehilangan beliau adalah satu tragedi besar buat saya dan saya amat sedih atas apa yang berlaku."

Selain semasa di universiti, Najib berkata beliau dan Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rompin, turut seiring ketika pembabitan awal dalam UMNO dan seterusnya dalam dunia pentadbiran kerajaan.

Bercakap tentang Azlin yang disifatkan sebagai 'Chief of Staff' di Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata pegawainya itu berperanan menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu.

"Secara peribadi beliau telah bersetuju meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat untuk berkhidmat dalam kerajaan sebagai khidmatnya untuk negara," katanya.

"Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak, ketiadaan beliau satu kehilangan besar bagi saya," kata Najib.

Perdana menteri berharap keluarga mereka tabah dan bersabar menempuh dugaan ini dan ketentuan Ilahi.

"Saya dan semua rakan berdoa apa yang telah berlaku itu, sekiranya telah disahkan nanti, kita berdoa kepada Allah supaya roh mereka dicucuri rahmat," katanya.

Perdana menteri berharap sumbangan Jamaluddin dan Azlin kepada negara selama ini dapat dicontohi masyarakat. 
-astroawani







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.