`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, April 5, 2015

Siapa Pengkhianat Melayu Sebenarnya...????


Sebenarnya apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir mengenai kepincangan pentadbiran DS Najib kini boleh diperbaiki. Amat tidak betul sekiranya ada pihak-pihak tertentu (tentunya penyokong tegar dan ‘membabi-buta’ DS Najib) yang mengatakan teguran Tun Mahathir itu sebagai teguran seorang yang sudah nyanyuk. Aku tidak fikir begitu. Dan sepanjang pemerhatian aku, Tun Mahthirlah sebenar-benarnya tokoh yang ‘berani’ menyuarakan sesuatu ‘without fear or favour’. Samada di dalam negara sendiri ataupun di arena antarabangsa. Beliau bukan jaguh kampung, hanya berani ‘berkokok’ di negara sendiri seperti kebanyakan Menteri kabinet kita di Malaysia.

Dan tentulah agak pelik apabila dicadangkan satu pertemuan ‘adik-beradik’ antara Tun Mahathir denga DS Mohd Najib yang kononnya ‘di orang-tengahkan’ oleh Teuku Adnan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian. Aku merasa pelik disebabkan bahawa ini bukannya perbalahan atau pertelingkahan antara kedua-duanya. Tidak timbul langsung isu perdamaian atau penyelesaian perdamaian.

Tun Mahathir dengan jelas mengatakan bahawa DS Najib sudah tidak popular lagi dikalangan rakyat Malaysia samada ada Melayu, Cina, India atau kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak. “Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya” kata Tun Mahathir dalam blognya.

Menampakkan dengan jelas bahawa bukan perbalahan. Hanya kritikan. Yang perlu dilakukan oleh DS Najib ialah menjawab dan menjelaskan segala kritikan yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap beliau atau terhadap kepimpinan beliau. Selagi beliau ‘mendiamkan diri’ maka selagi itulah tuduhan dan tohmahan yang negatif terhadap kepimpinan beliau memuncak dan itu yang dibimbangi oleh Tun Mahathir takut-takut ‘usia’ UMNO dan BN tidak bertahan lama.

Sudah banyak kali disarankan oleh banyak pihak agar DS Najib harus mengambil sikap memperjelaskan sesuatu persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat. “Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan” katanya lagi.

Jawapan standard yang sebegini seperti ‘merepet’, ‘pembohongan’ atau ‘mempolitikkan’ adalah jawapan yang sering digunakan bukan sahaja oleh Perdana Menteri malah amat sering digunakan oleh para Menteri kabinet untuk menjawab sesuatu soalan yang dikemukakan. Harus diingat bahawa masyarakat Malaysia kini sudah cerdik dan celik IT. Setiap soalan yang ditujukan kepada para menteri itu hanya untuk ‘pengesahan’ bukan soalan ‘ingn tahu’.
Rakyat sebenarnya sudah tahu jawapan kepada beberapa persoalan yang dikemukakan melalui pembacaan dan penyelidikan mereka melalu internet. Mereka sudah ada fakta yang cukup lengkap mengenai sesuatu isu. Dan pertanyaan yang diajukan kepada menteri itu hanyalah untuk mengesahkan ‘ betul-tidaknya’ sahaja. Misalnya rakyat tahu tentang pembelian jet baru untuk kegunaan Perdana Menteri dan rakyat tahu juga yang DS Najib bermain golf di Hawaii ketika Pantai Timur dilanda banjir dan rakyat tahu tentang majlis khenduri perkahwinan secara besar-besaran anaknya sedangkan rakyat ‘mengikat perut’ akibat tekanan GST. Rakyat tahu semua itu dan kadang-kadang rakyat sengaja ‘berpura-pura buat tak tahu’.

Rakyat memendam perasaan seperti api dalam sekam. Itu yang ditakuti oleh Tun Mahathir. Dan DS Najib boleh menggunakan hujah yang mengatakan bahawa beliau mendapat sokongan padu daripada ketua-ketua UMNO di seluruh negara. Dan hampir semua rakyat tahu juga mengapa dan kenapa pemimpin UMNO memberikan sokongan yang ‘tidak berbelah bagi’ kepada DS Najib. Semua orang tahu sebab-sebabnya. YBM Tengku Razaleigh telah menjelaskan sedikit sebanyak sebab-sebabnya suatu ketika dahulu.

Dan aku ingin juga mengingatkan DS Najib (sekiranya beliau terlupa) bahawa begitulah rupa keadaan ‘sokongan’ yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO kepada Saudara Anwar Ibrahim ketika beliau berada ‘di kemuncak’ pada suatu ketika dahulu. Tetapi apabila beliau telah ‘dilucutkan’ semua jawatannya, maka seorang demi seorang pemimpin UMNO ( yang kononnya memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepadanya) telah meninggalkan beliau, sehinggakan ‘rakan karibnya’ sendiri turut membelakangi beliau.

Tepat juga kata orang tua-tua, ‘yang ketawa ramai dan yang menangis keseorangan’
DS Mohd Najib juga harus memikirkan keadaan sedemikian.


abuhassanadam
3 April 2015
http://abuhassanadam.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.