`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 13, 2015

JET KERAJAAN DANA NAK BADAK

ANAK BADAK
 NAIK JET

Kerajaan Harus Telus menjawab Jet Kerajaan Merantau Dunia

13 Mac 2015

Pada 11 Mac 2015, saya telah mengemukakan soalan lisan kepada Parlimen meminta jawapan Perdana Menteri menyatakan perjalanan dan jumlah kos penggunaan jet Kerajaan 9M-NAA dari 22 Disember 2014 hingga 7 Januari 2015 Saya juga minta mereka senaraikan penumpang iaitu manifest penumpang.

Jet kerajaan tersebut dilaporkan merantau dunia dari Hawaii ke Los Angeles, New York, kemudian ke London, Dubai, Bangkok baru balik ke Malaysia. Jumlah perjalanan dianggarkan 12 hari. Perjalanan jet Kerajaan merantau dunia menimbulkan krontroversi kerana pada masa itu, seramai 250,000 rakyat Malaysia menderita ditimpa banjir yang paling serious dalam sejarah Malaysia.

Jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri menjawab “Sepanjang 22 Disember 2014 hingga 7 Januari 2015, jet 9M-NAA digunakan untuk tujuan urusan rasmi YAB Perdana Menteri. Segala kos yang tertanggung adalah berdasarkan had kelayakan YAB Perdana Menteri. Manakala para penumpang yang menaiki pesawat tersebut adalah mereka yang berkelayakan menaikinya seperti pasukan keselamatan yang ditugaskan melindungi YAB PM.”

Ini adalah kali pertama, Kerajaan enggan berterus terang menjawab soalan sedemikian dan menjawab dengan sambil lewa. Pada sesi parlimen lepas, soalan sedemikian dijawab dengan penuh. Contohnya, JPM menjawab soalan ahli parlimen mengenai perjalanan Datin Seri Rosmah Mansor ke Qatar menggunakan jet kerajaan pada tahun 2014 membelanjakan RM426,489.46. Tetapi, tahun ini, jawapan yang saya terima, seolah-olah kerajaan ingin menyembunyikan sesuatu.

Kedua, fakta yang dijawab oleh Menteri JPM juga salah. Media melaporkan bahawa YAB Perdana Menteri telah kembali ke Malaysia selepas bermain golf dengan Presiden Obama pada 27 Disember 2014. Maka, dari 27 Disember sehingga 7 Januari, YAB PM tidak lagi menumpang jet kerajaan tersebut. Penumpang VVIP menjadi misteri. Adakah penumpang VVIP itu lebih layak daripada Perdana Menteri? Rakyat berhak tahu segala kebenaran.

Parti KEADILAN telah membuat anggaran bahawa perjalanan sepanjang 12 hari tersebut telah memakai 243,145 liter petrol jet. Pada harga petrol RM2 satu liter, yang jauh lebih murah daripada petrol jet, kami menganggarkan secara konservatif perjalanan tersebut membelanjakan RM 494,404. Kita harap kerajaan akan keluarkan fakta menjawab anggaran daripada Parti KEADILAN.

Kerajaan tidak terus terang menjawab soalan, seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu. Mungkin sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Sebagai ahli Parlimen, saya amat khuatir terhadap kebajikan penumpang VVIP ini. Adakah beliau sihat? Adakah beliau selamat sampai ke destinasi? Adakah beliau berjaya menjalankan tugas keselamatan negara? Adakah beliau puas shopping? VVIP berkenaan adalah tunjang Negara, jangan ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada beliau.

Jawapan dari Jabatan Perdana Menteri harus dikecam. Ini amat tidak berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen, iaitu, kerajaan harus menjawab soalan dikemukakan oleh ahli Parlimen dengan terus terang. Keenganan kerajaan menjawab soalan menimbulkan pelbagai soalan dan spekulasi. Menteri Shahidan Kassim harus tahu bahawa penggunaan jet pejuang melibatkan penggunaan duit rakyat dan rakyat berhak mengetahui bagaimana kerajaan menggunakan duit rakyat.

Sim Tze Tzin, MP Bayan Baru

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.