`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 13, 2015

Esklusif - Azalina Sibuk Isu Liwat, Kawasan Hutan Simpan Di Pengerang Kena Gondol Pun Dia Tak Peduli.


Laporan ini sangat menarik. Rakyat Johor khususnya di parlimen Pengerang perlu baca dan sampaikan maklumat berguna ini kepada MP korang iaitu Azalina Othman. Minta dia tumpu perhatian kepada bidang tugas sebenar seorang wakil rakyat iaitu menyelesaikan masalah-masalah berbangkit rakyat marhaen dari meroyan di parlimen isu liwat.

Antara fakta menarik dalam laporan yang disediakan oleh Berita Harian (jangan hairan kenapa mereka tiba-tiba buat pendedahan ini) ialah bagaimana kerajaan negeri Johor sendiri gagal berperanan membanteras kegiatan penerokaan hutan secara haram.

Adakah ini sama kesnya seperti apa yang berlaku di Pahang? Sejak zaman British lagi perkara ini berlaku dan beta tak boleh berbuat apa-apa?

HA HA HA

Baca. Jangan tinggal satu perenggan pun. Disini korang akan tahu bagaimana sewenang2nya tanah seperti kawasan tadahan hujan dan hutan simpan diagihkan dan diberikan sesuka ahti oleh pihak tertentu kepada pihak tertentu atas alasan yang tah hapa-hapa.

Laporan Berita Harian.

Penerokaan tanah berhampiran Empangan Sungai Lebam, Bandar Penawar di Pengerang, dekat sini, meresahkan masyarakat setempat berikutan ia satu-satunya kawasan tadahan yang membekalkan air kepada hampir 100,000 penduduk.
 

Penduduk mempersoalkan bagaimana kawasan yang sebelum ini diwartakan sebagai kawasan tadahan air boleh dikurniakan kepada individu, seterusnya digondol dan diteroka menjadi kawasan pertanian.
 

Difahamkan, kawasan itu mula diteroka sejak tahun 2012 dan penduduk mendakwa ia menyebabkan paras air di empangan berkenaan berkurangan secara mendadak meskipun tidak berlaku kemarau.
 

Empangan Sungai Lebam ketika ini juga adalah satu-satunya empangan yang membekalkan kawasan air bermula dari FELDA Air Tawar 4, Desaru, Bandar Penawar hingga ke Pengerang dan Teluk Ramunia.

Dalam usaha kerajaan menjadikan Pengerang sebagai hab petroleum dan penyimpanan minyak, tindakan rakus pihak yang meneroka kawasan hutan berhampiran empangan berkenaan boleh menjejaskan pembangunan itu.

Lebih membimbangkan, penerokaan berterusan dalam tempoh 10 tahun akan datang boleh menjejaskan pembangunan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang kini giat dibangunkan di kawasan seluas 8,093.71 hektar dan dijangka beroperasi pada tahun 2017.

Persoalannya, meskipun bidang kuasa kerajaan negeri berhak mengurniakan tanah berkenaan kepada pemohon, perancangan teliti perlu bagi mengelakkan masalah lebih besar berlaku sehingga boleh menjejaskan pembangunan.

Apakah rasional mengutamakan pemohon tanah berbanding keperluan kira-kira 150,000 penduduk menjelang tahun 2017?
 

Tinjauan BH ke kawasan empangan itu mendapati paras air berkurangan sehingga tiga meter selain kawasan hutan tadahan bersebelahannya sudah digondol hampir seluas 20 hektar untuk dibangunkan sebagai tempat tanaman hasil pertanian.
 

Dibantu beberapa wakil penduduk dan pemimpin setempat, BH dapat memasuki satu daripada kawasan yang diteroka yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari empangan berkenaan.

Tanah yang diteroka itu dijadikan kawasan tanaman betik dan ketika tinjauan, beberapa pekerja warga asing dilihat sedang menyiram anak pokok yang ditanam.

Apabila ditanya, mereka mengatakan hanya bekerja dengan majikan.


Kira-kira 100 meter dari situ, kawasan hutan dilihat sudah digondol sehingga menjadi lapang di sekeliling empangan dan hanya menanti masa untuk dibangunkan.

Penduduk setempat yang ditemui meminta kerajaan negeri memulihara semula kawasan yang sudah diterokai itu bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.

Penduduk FELDA Sungai Mas, Nizam Ali, berkata pihaknya sebelum ini pernah dimaklumkan bahawa tanah berkenaan tidak boleh dimiliki atau dimajukan kerana statusnya sebagai Hutan Simpan dan kawasan tadahan air untuk Empangan Sungai Lebam.
 

Beliau yang juga bekas bekas Lembaga Penasihat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), berkata pihaknya turut dimaklumkan tanah berkenaan dikurniakan sebagai anugerah penghargaan kepada kakitangan kerajaan dan pegawai tadbir.

Katanya, beliau tidak membantah pengurniaan tanah sebagai penghargaan terhadap kakitangan kerajaan atau pegawai tadbir yang cemerlang, tetapi pemilihan kawasan hutan simpan dan tadahan ini adalah salah dan tidak tepat.

"Banyak lagi kawasan lain yang boleh dijadikan tanah kurnia, bukan di sini (sekitar empangan) sehingga akhirnya lebih 100,000 penduduk yang bergantung kepada bekalan air bersih dari empangan ini terjejas.
 

"Adakah kita mahu membela beberapa individu (kakitangan dan pegawai tadbir) ini sahaja, sedangkan lebih ramai lagi rakyat yang akan terjejas berikutan penerokaan secara haram ini," katanya.

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Masyarakat Bandar (JKKMB), Abdul Razak Budu, berkata pihak KEJORA selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam ulasannya turut menyatakan tidak bersetuju dengan pengurniaan tanah terbabit.

"Perkara ini sudah beberapa kali dibawa ke mesyuarat, namun belum ada keputusan dan tindakan konkrit sehingga kini.

 "Kerajaan negeri memiliki dua pilihan iaitu menarik balik pengurniaan tanah ini atau jalankan siasatan terperinci apa sebenarnya berlaku, seterusnya menghentikan penerokaan dan membaik pulih kawasan tadahan ini," katanya.
 

Wakil penduduk Taman Bayu Damai, Kadir Ahmad, berkata selain berdepan risiko ketiadaan bekalan air bersih, beliau bimbang kegiatan pertanian di kawasan itu boleh menyebabkan air di tasik tadahan itu tercemar dengan bahan kimia.
 

"Mereka pasti menggunakan baja kimia untuk tanaman dan kawasan pertanian mereka tidak jauh dari tasik empangan ini. Jadi, tidak mustahil ia boleh tercemar dan menjejaskan bekalan air di sini," katanya.

INFO

- Jarak satu kilometer: Empangan Sungai Lebam dengan Bandar Penawar.
- Jarak 35 km: Empangan Sungai Lebam dan Pengerang.
- Empangan beroperasi sejak tahun 1972.
- Mula diteroka pada tahun 2012.
- Empangan menunjukkan pengurangan air sejak akhir 2013.
- Paras air tidak menunjukkan peningkatan meskipun berlaku hujan sehingga kini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.