`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, March 8, 2015

1MDB dan Ops Licin SPRM

http://www.therocket.com.my/en/wp-content/uploads/2015/02/1mdb-feat-650x400.jpg
BANYAK sangat soksek-soksek mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang oleh pihak pembangkang dianggap sebagai salah satu skandal terbesar pernah dialami oleh Malaysia.

Walaupun tidak disiarkan media arus perdana, butiran dan perincian terhadap apa yang dikatakan penyelewengan melibatkan berbilion RM oleh syarikat milik Kementerian Kewangan itu menjadi bahan panas di blog dan media sosial setiap hari.

Malah, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun dari semasa ke semasa menyuarakan pandangan negatif terhadap syarikat milik kerajaan yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Tentu sekali orang ramai berasa bimbang dengan angka-angka mega yang dikatakan telah disonglap sehingga mendatangkan risiko tinggi terhadap negara. Orang ramai diberi gambaran bahawa wang rakyat telah diseleweng dan boleh membawa negara ke arah muflis.

Maka arahan Najib supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB, amat dialu-alukan. Laporan Ketua Audit Negara itu akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Seperti yang dikatakan Najib, juru audit Deloitte telah mengesahkan tidak terdapat sebarang salah laku dalam 1MDB. Kita tunggu apa hasil semakan Ketua Audit Negara, dan apa pula penemuan PAC.

*PENGERUSI PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berharap Jabatan Audit Negara segera mengaudit 1MDB. PM telah memberi arahan, elokkan segerakan tugas yang telah diamanahkan.

“Saya berharap tiada campur tangan daripada mana-mana pihak untuk Jabatan Audit Negara melaksanakan audit terhadap 1MDB dan biar jabatan berkenaan menentukan skop pengauditannya, namun ia harus termasuk lima perkara yang PAC mahu jabatan berkenaan tumpukan,” katanya.

Lima perkara itu termasuklah sumber dana kewangan berjumlah RM2 bilion yang diperoleh 1MDB dalam menjelaskan pinjamannya terhadap beberapa bank tempatan, suntikan dana kewangan baru daripada Kementerian Kewangan (MoF) berjumlah RM3 bilion dan perjanjian pelaburan 1MDB dalam syarikat Petrosaudi.

Selain lima perkara itu Ketua Audit Negara juga PAC patut menjawab tuduhan pembangkang mengenai beberapa individu yang dikatakan dengan mudah mengaut untung peribadi beratus juta RM dalam apa yang disebut skandal 1MDB.

Seperti yang ditegaskan PM: “Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.” Mari kita tunggu dan lihat.

*SETAKAT ini semua nampak licin dan lancar. Syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melukah, menjala dan menjaring banyak ikan dalam Ops Licin 2.

Ikan kecil, ikan sederhana, ikan besar semua cuba ditangkap. Orang ramai berharap akan termasuk juga dalam jaring dan pukat tunda SPRM sehari dua ini ialah jerung, buaya tembaga dan badak laut.

Sehingga rencana ini ditulis – Khamis – iaitu setelah tiga hari operasi berkenaan dilancarkan, seramai 40 individu telah ditahan bagi membantu siasatan dalam pelbagai kes rasuah.

Seorang CEO sebuah syarikat berkaitan (GLC) turut masuk dalam jaring SPRM. Individu lain yang ditahan termasuklah polis, penguat kuasa kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta orang awam ditahan.

Seperti yang dilaporkan media sebahagian tangkapan kakitangan penguat kuasa tersebut ada kaitan dengan kegiatan pengaliran keluar minyak petrol dan diesel subsidi di Kedah dan Perak.

Semoga Ops Licin diteruskan sepanjang masa dan SPRM melebarkan jaring dan pukat tunda di lautan rasuah yang semakin luas. Kita boleh lakukan!

*AKHIR kalam, walaupun Umno telah mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka, itu tidak bererti Pas akan dengan mudah mengekalkan kerusi yang kosong berikutan kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sudah ada cakap-cakap di luar sana bahawa parti Islam itu akan ditentang beberapa calon bebas. Maka ada orang kata mereka yang bertanding bebas ini hanya untuk ‘test market’. Ada juga yang kata si bebas saja hendak kacau daun.

Bagi wartawan pula kalau ada bebas bertanding, adalah berita. Lagi banyak yang bertanding lagi banyak boleh buat berita... dan lagi laku surat khabar!- Sinar Harian

TOK PERAK

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.