`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 21, 2015

TOCI DAN BERAS SELUDUP PUNCA 100,000 TAN PADI TERSADAI DI KILANG-KILANG

Lambakan padi membimbangkan


Terdapat dakwaan berlakunya aktiviti penyeludupan beras meluas dari negara jiran. Gambar kecil: Hsiao Leung

ALOR SETAR - Kilang beras di Kedah dan Perlis didakwa berdepan lambakan padi yang serius apabila dianggarkan lebih 100,000 metrik tan tersadai di kilang masing-masing.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berkata, berdasarkan maklum balas beberapa pengilang beras, lebihan bekalan ini berpunca daripada ketirisan dan salah guna kuasa dalam program subsidi beras negara.

“Oktober lalu, bekas kakitangan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berjawatan kanan, mendedahkan secara terbuka penerima kuota atau pemborong dikehendaki membayar ‘toci’ (rasuah) kepada pegawai di Kementerian Pertanian bagi mendapatkan kuota khas membekalkan beras subsidi negara, iaitu Super Tempatan ST15 beras hancur,” katanya.

Menurutnya, pendedahan itu turut membuktikan kelemahan pelaksanaan program subsidi beras, di mana pemborong sepatutnya menjual beras ST15 tidak berbuat demikian, sebaliknya menjual beras itu kepada pemborong lain bagi mengaut keuntungan dengan membungkus semula ST15 dan dijual semula di pasaran sebagai beras hancur 5 peratus, pada harga lebih tinggi.

“Sistem ‘tukar baju’ ini menyebabkan berlakunya lambakan beras di pasaran. Pengilang mengadu, pemborong tidak membeli daripada mereka dan menyebabkan lambakan stok beras. Masalah ini bertambah buruk dengan adanya aktiviti penyeludupan beras meluas dari negara jiran,” katanya.

Hsiao Leung yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, perkara ini tidak seharusnya berlaku jika industri beras diuruskan dengan telus.

“Masalah ini tidak seharusnya berlaku kerana negara kita tidak menghasilkan beras sepenuhnya untuk permintaan negara. Kita hanya menghasilkan 70 peratus keperluan beras negara, selebihnya diimport oleh Bernas,” katanya.

Menurutnya, situasi ini turut meresahkan golongan pesawah, di mana pendapatan mereka bergantung kepada hasil jualan tanaman (padi), ekoran berlaku lambakan beras dalam simpanan di kilang beras tempatan.

“Pesawah dijangka menuai tanaman mereka akhir bulan ini atau Februari. Mereka juga bimbang jika pengilang membuat potongan tinggi ketika menilai kualiti padi dibekalkan, dan ini akan mengurangkan pendapatan mereka,” katanya.

Hsiao Leung kesal kerana kesan daripada ketirisan dalam pengurusan program beras subsidi negara yang didedahkan sebelum ini, memberi kesan besar terhadap keseluruhan rangkaian industri beras, bermula daripada petani, pengilang, pemborong dan pengguna.

“Walaupun Kementerian sudah merombak semula seluruh proses pemilihan pemborong (penerima kuota) November lalu, pengilang masih mengadu proses itu tidak telus,” katanya.

Persoalan dibangkitkan, termasuk proses pemilihan baharu diputuskan sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian tanpa rundingan atau maklum balas daripada pemain industri tempatan.

“Tiada temuduga dengan pemohon. Tiada rundingan dengan persatuan pengilang beras tempatan atau persatuan pemborong untuk menilai kesesuaian atau trek rekod prestasi pemohon, malah tidak dirujuk kepada Jabatan Pertanian negeri,” katanya.

Hsiao Leung berkata, senarai baharu pemborong (kuota bulanan) hanya dikeluarkan Kementerian Pertanian minggu lalu, dan menguatkan lagi kebimbangan pengilang bahawa rasuah masih berleluasa.

“Sebagai contoh, majoriti pemborong terpilih dari Kedah adalah baharu dan tidak dikenali dalam pasaran, malah tiada rangkaian pengedaran tempatan mahupun peralatan dan mesin kampit membungkus beras,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan, kerajaan menetapkan kuota 40,000 metrik tan beras ST15 dibekalkan bagi Semenanjung Malaysia, 20,000 metrik tan di Sabah dan Sarawak, dimana kos cukai mencecah RM528 juta setahun untuk memberi makan kepada 8-9 juta orang setiap hari.

Hsiao Leung turut meminta, Menteri Pertanian memberi jaminan akan menyiasat punca lambakan stok padi ini.

“Ini adalah isu keselamatan makanan negara. Saya harap, beliau pastikan pelantikan pemborong dibuat secara adil dan telus, bagi memastikan hanya mereka yang layak diberi kuota,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.