`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, January 2, 2015

Status terkini berkenaan RIBUT TROPIKA JANGMI yang dikatakan akan melanda negara

 
 

MKN Nafi Ribut Tropika Jangmi Akan Landa 90 Peratus Kawasan Di Malaysia Pada 3 Jan
Oleh Noor Farhana Ahmad Norain

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menafikan dakwaan kononnya ribut tropika 'Jangmi' akan melanda 90 peratus kawasan di Malaysia pada 3 Jan ini.

Beliau berkata mesej yang tersebar secara meluas di laman sosial hari ini berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
 
Mohamed Thajudeen menjelaskan bahawa ribut tropika Jangmi yang kini berada di kawasan perairan Filipina dijangka akan menjadi lemah di kawasan Laut Sulu.

"Cuma yang akan berlaku nanti ialah laut akan bergelora, dan berlaku hujan di beberapa kawasan khususnya di sebelah timur Malaysia.

"Kita telah semak dengan Jabatan Meteorologi dan mereka nyatakan ribut tropika itu memang berada di kawasan Filipina. Tetapi tidaklah sampai akan melanda 90 peratus kawasan Malaysia. Ia akan menjadi lemah di Laut Sulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

MKN menyifatkan penyebaran berita tidak benar sebagai perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab, kata Mohamed Thajudeen.

Beliau menasihatkan agar perbuatan itu dihentikan, memandangkan rakyat Malaysia baru hendak pulih daripada bencana banjir dan mahu memulakan hidup baharu.

"Janganlah buat perbuatan khianat ini kepada rakyat. Cerita-cerita begini mewujudkan suasana panik, cemas dan mengecewakan rakyat. Perbuatan ini tidak baik dan boleh dianggap mengkhianati rakyat Malaysia," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata ribut Jangmi dijangka menyebabkan keadaan laut bergelora hanya di perairan Sabah, Labuan, dan Miri serta Bintulu di Sarawak dalam tempoh 31 Dis hingga 2 Jan.

Penduduk di kawasan perairan Sabah (Kudat, pantai barat, Sandakan dan pedalaman) dinasihatkan mengelak daripada sebarang aktiviti marin terutamanya pada 1 Jan, 2015, kerana ribut tropika itu dijangka akan menyebabkan cuaca buruk di kawasan-kawasan berkenaan.

Semalam, Che Gayah berkata ramalan dari Joint Typhoon Warning Centre (JTWC) menyebut bahawa ribut itu berada 665km dari Timur Laut Sandakan dan sedang bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 15km sejam.

"Ribut itu boleh menyebabkan angin kencang selaju 50 hingga 60kmsj yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," kata Che Gayah.

Beliau berkata ia boleh mengakibatkan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter serta hujan lebat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam makluman terbaharunya menyatakan ribut tropika Jangmi telah menjadi lemah kepada Lekukan Tropika pada 12 tengah hari tadi.

Lekukan Tropika itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan perairan Sabah (Sandakan, Kudat, pantai barat dan pendalaman), Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak.

"Mengikut cerapan pada jam 12 tengah hari tadi, Lekukan Tropika ini berada pada kedudukan latitud 8.9 darjah Utara dan longitud 121.7 darjah Timur. Jarak paling hampir dengan bandar di Malaysia ialah 527 km ke Timur Laut Sandakan.

"Ia sedang bergerak ke arah selatan dengan kelajuan 12kmsj," menurut kenyataan jabatan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan laman sosial MetMalaysia di facebook https://www.facebook.com/malaysiamet atau twitter https://twitter.com/malaysiamet.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.