`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 6, 2015

Siapakah Jadi "Perdana Menteri" Ketika Penerbangan New York - London - Dubai - Bangkok?

oleh Shahbudin Husin,

Beberapa blog dan akaun media sosial semalam mulai tampil mempertahankan perjalanan jet kerajaan dari Amerika Syarikat yang singgah di beberapa bandar syurga membeli-belah dunia sebelum berehat selama dua hari di Bangkok dan akhirnya selamat kembali ke tanahair.

Mereka mewajarkan bahawa jet 9M-NAA itu terpaksa singgah di di London dan Dubai dalam perjalanan ke Bangkok daripada Amerika Syarikat kerana pesawat itu mempunyai tangki yang kecil dan oleh itu perlu selalu mengisi minyak.

Mereka juga menyebut bahawa jet itu hanya singgah tidak sampai dua jam di London dan Dubai dan oleh itu tidak mungkin jangkamasa itu digunakan untuk membeli-belah.

Berapa lama pula masa diperlukan untuk keluar dari pesawat, melalui beberapa pintu, pilih barang-barang, bayar di kaunter dan kemudian bergegas semula menuju pesawat, kata mereka.

Sekala imbas, ternampak bahawa blog dan pengendali media sosial ini telah memberi hujah yang logik dan dapat diterima akal dan mungkin dapat mengembirakan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor yang kian dipertikaikan berikutan isu jet ini.

Dalam masa yang sama, wujud juga penjelasan dari PMO sendiri bahawa jet itu ditinggalkan di Amerika kerana menghadapi masalah teknikal dan tidak digunakan oleh mana-mana ahli keluarga Perdaha Menteri.

Seolah-olah jawapan dan penjelasan itu senada untuk membersihkan nama isteri Perdana Menteri daripada tohmahan membeli-belah di beberapa bandaraya indah yang disinggahinya.

Tetapi, satu perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh blog dan pengendali media sosial ini ialah siapakah penumpang utama di dalam jet ketika dalam perjalanan daripada Amerika ke Bangkok itu?

Adakah ada Rosmah di dalamnya atau jet itu pulang kosong setelah masalah teknikalnya berjaya diatasi?

Jika Rosmah menjadi penumpangnya, siapakah yang membenarkannya?

Kenapa juga jet itu berada di Bangkok dan dalam masa yang sama Rosmah juga didapati membeli-belah di Central Chidlom? Adakah Rosmah penumpangnya atau Rosmah datang ke Bangkok daripada Amerika menaiki pesawat komersial?

Kenapa daripada Amerika, setelah kononnya masalah teknikal jet itu diatasi, ia tidak terus balik ke Kuala Lumpur saja?

Kedatangan Najib ke Bangkok pula menaiki apa? Adakah juga menggunakan jet khas TUDM sebagaimana kepulangannya daripada Hong Kong ke Kota Bharu sebelum ini?

Jika pemergian Najib ke Bangkok menggunakan jet TUDM, adakah ia pulang kosong kerana pulangnya Najib dan Rosmah ke Kuala Lumpur kemudiannya adalah dengan jet 9M-NAA yang didatangkan daripada Amerika itu? Tidakkah sudah berlaku pembaziran berganda di sini?

Sebenarnya banyak lagi persoalan dalam isu jet ini yang menimbulkan lebih tanda-tanya kepada rakyat walaupun cuba diwajarkan dengan pelbagai perkara seperti masalah teknikal dan sebagainya.

Meskipun juga blog dan pengendali laman sosial ini bersungguh mahu mempertahankankan tiada aktiviti membeli-belah dan jet itu singgah daripada satu bandar ke bandar yang lain hanyalah untuk mengisi minyak, namun tiada yang berani memberi jawapan siapakah penumpang utama di dalamnya?

Daripada Amerika Syarikat - London - Dubai - Bangkok, siapakah yang jadi "Perdana Menteri" di dalam jet itu?

Selagi jawapan yang benar dan "kerana Allah" tidak diberikan, malah cuba disimpang-siurkan kepada hal-hal lain, selagi itulah isu jet ini terus menjadi percakapan ramai dan tambah membawa derita kepada Najib yang sedang berehat kerana jangkitan e.coli sekarang ini. (SH 06/01/2015)
Posted by Shahbudin Husin at 09:01 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest
Monday, 5 January 2015
Jadilah Perdana Menteri, Jangan Jadi Macam Pencuri

Apakah pengajaran kepada Perdana Menteri, Najib Razak di sebalik perbualan ramai mengenai misteri jet kerajaan yang didapati mengelilingi dunia sejak dua minggu lalu tetapi tidak diketahui siapa menggunakannya?

Jawapannya hanya satu iaitu sebagai Perdana Menteri, beliau harus bersikap telus, sesuai dengan dunia langit terbuka yang ada sekarang.

Jika ketika bercuti ke Hawaii sebelum sambutan Krismas dulu, Najib tidak merahsiakan pemergiannya dan memberitahu salah satu acaranya ialah bermain golf dengan Barack Obama, sudah tentu tiada siapa kisah apabila gambarnya dengan Presiden Amerika itu tersebar luas.

Jika setelah banjir semakin menggila dan beliau kemudian membuat keputusan kembali ke dalam negara, beliau pulang dengan pesawat yang sama yang membawanya bercuti ke Hawaii, sudah tentu juga tiada siapa mahu sibuk-sibuk menjejaki di mana pesawat rasmi itu berada.

Tetapi tentulah agak menghairankan apabila pesawat itu ditinggalkan di Amerika sedangkan Najib sebagai "tuan yang berhak" menggunakannya sudah berada di dalam negara.

Itulah yang akhirnya mendedahkan bahawa Najib menaiki pesawat komersial daripada Amerika ke Hong Kong sebelum dijemput oleh jet TUDM ke Kota Bharu. Hanya setelah timbul banyak persoalan kenapa jet itu ditinggalkan di Amerika, barulah kemudian ada penjelasan bahawa ia mengalami masalah teknikal.

Tetapi apabila dikesan melalui FlightRadar24, pesawat itu bergerak di antara Hawaii - Indianapolis - Los Angelas dan Ne York, bukan saja penjelasan mengenai masalah teknikal sudah tidak bermakna, bahkan menyebabkan keghairahan orangramai untuk mengetahui siapa penggunanya jadi semakin membara.

Jika setelah beberapa hari menghabiskan masa dengan mangsa banjir di seluruh negara, Najib juga memberitahu semua media bahawa beliau akan pergi ke Thailand bertemu dengan rakan sejawatnya di sana, sudah tentu juga tiada siapa mengaitkannya dengan "kebetulan" pesawat 9M-NAA itu turut berlabuh di Bangkok pada waktu yang sama.

Tetapi sekali lagi, sebagaimana bercuti ke Hawaii dilakukan secara sembunyi-sembunyi, pemergian Najib ke Thailand juga seperti seorang yang ada kekasih hati tapi takut bini.

Dan jika Najib memberitahu bahawa selepas bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, beliau juga bertemu kembali dengan keluarganya yang ditiinggalkannya di Hawaii sebelum ini, tiadalah juga sesiapa yang berminat mahu bercakap tentang pemergiannya itu dsn mengambil gambar isterinya sedang membeli-belah di kota Bangkok.

Malangnya, bukan saja pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand dirahsiakan, malah bagaimana isterinya boleh sampai ke Bangkok juga tidak diberitahu secara rasmi. Nasib baiklah ada FlightRadar 24 yang memberitahu bahawa jet kerajaan itu menjelajah beberapa kota besar dunia dan berada di Bangkok ketika Najib juga berada di sana.

Malam tadi, jet 9M-NAA itu akhirnya kembali ke dalam negara secara rasmi. Sekali lagi, Najib juga pulang secara sembunyi-sembunyi.

Jika sebelum ini, setiap kali Najib berlepas dan kembali ke dalam negara, ramai yang menyambut, meraikan dan mencium tangannya, semua itu tidak berlaku lagi kali ini.

Sebagaimana beliau pergi ke Hawaii dan Thailand macam pencuri, kembalinya juga macam pencuri. Semuanya dilakukan secara sembunyi dan ingin dirahsiakan.

Dalam dunia langit terbuka yang Najib sendiri antara pengagumnya dengan begitu aktif menyebar-luaskan aktiviti, menghebahkan maklumat dan memuat-naik gambar-gambarnya melalui laman sosial miliknya, adalah begitu ganjil beliau bersikap sebaliknya kali ini.

Di ketika beliau juga kerap menyatakan bahawa internet dan media sosial adalah medium penyebaran maklumat yang penting sekarang, adalah ganjil juga apabila Najib merasakan seolah-olah Utusan, Berita Harian dan TV masih berkuasa.

Dalam dunia langit terbuka dan hanpir semua orang sudah memiliki gajet pintar dalam genggaman, sesiapa saja adalah wartawan dan pemberita sebenarnya. Penyebaran berita tidak lagi menunggu media rasmi menghebahkannya.

Sesuai dengan itu, Najib juga seharusnya bersikap telus dan terbuka. Sebagai Perdana Menteri yang menjadi hak kepada mana-mana rakyat memperkatakan tentang setiap jalur kehidupannya, Najib tidak seharusnya cuba bersembunyi-sembunyi lagi kerana banyak kamera tidak rasmi sedang berada di sekelilingnya sepanjang masa.

Lagi beliau cuba berahsia, lagilah pemberita tidak bergaji ini makin aktif mengejarnya.

Sebagai Perdana Menteri, jadilah betul-betul macam Perdana Menteri, bukan lari-lari, sembunyi-sembunyi dan macam pencuri. (SH 05/01/2014)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.