`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, January 8, 2015

MODERAT LAWAN EKSTREMIS, CEREKA PENAGIH KUASA

Mahathir_Najib-650x400
(Roketkini) – Mengapa tiba-tiba kumpulan Melayu 25+11 ini bangkit bercakap soal sederhana? Dimana mereka sebelum ini? Siapa sebenarnya yang mereka wakili?
Kebelakangan kita dengar kemunculan kumpulan Melayu 25, kini bertambah dengan 11 orang yang membicarakan topik kesederhanaan menentang ekstremism. Mengapa tiba-tiba kumpulan Melayu 25+11 ini bangkit bercakap soal sederhana? Dimana mereka sebelum ini? Siapa sebenarnya yang mereka wakili?
Tanpa kita sedari, sebenarnya suara-suara ini hanyalah mewakili puing-puing dalam UMNO. Paluan gendang perang sudah dimulakan. Ya, ia adalah pertembungan kumpulan Najib menentang kumpulan Dr Mahathir.
Dr Mahathir tanpa sembunyi telah memulakan zaman perang dingin terhadap Najib.
Kumpulan-kumpulan ini seperti ketika Tamrin Ghafar, Muhammad Mat Taib dan beberapa lagi personaliti politik Melayu yang cuba mengambil insurans hayat politik dengan menyertai PR sebelum pilihanraya lepas. Kumpulan-kumpulan ini sedang mencari insurans perlindungan dengan berpaut di lengan Najib. Kumpulan-kumpulan ini sebenarnya sedang bergabung untuk mendiamkan Dr Mahathir.
Begitu juga dengan Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah yang turut bersuara menolak ekstremisme ini. Siapa tidak kenal dengan dua tokoh ini. Semua tahu perseteruan mereka dengan Dr Mahathir. Mereka adalah mangsa kerakusan politik Dr Mahathir. Jauh lebih awal daripada zaman Anwar Ibrahim. Dan ini juga petanda, kedua-dua sosok ini sudah amat meluat dengan sikap Dr Mahathir.
Mengapa Dr Mahathir melancarkan perang, sedangkan beliau yang menaikkan Najib?
Jika kita tidak memahami asbab perkara ini, kita sebenarnya masih tidak memahami percaturan politik negara pasca Mahathirism. Dr Mahathir bukan sosok yang mudah melepaskan kuasa. Kuasa ibarat kokain dalam kehidupan Dr Mahathir. Tanpanya Dr Mahathir menjadi lemah dan tidak tentu arah.
Dr Mahathir melepaskan kuasa sebagai Perdana Menteri akibat terpaksa. Setelah beliau gagal memahat minda Melayu dengan kisah fitnah terhadap Anwar Ibrahim, maka beliau terpaksa berundur. Kerana itulah Dr Mahathir kekal menyibuk dalam arena politik nasional. Walhal, beliau sepatutnya bersara sebagai Negarawan Terhormat.
Oleh kerana penangan kuasa di dalam UMNO, Dr Mahathir sering menyangka setiap orang umpama lembu yang dicucuk hidungnya. Semua orang mahu dijadikan pak turut.
Pak Lah menjadi mangsa pertama. Saya masih ingat lagi ketika hadir roadshow Dr Mahathir ke Johor Bahru. Berbagai kecaman dilontar terhadap pentadbiran Abdullah Badawi.
Dan kini setelah melihat Najib bukan lagi bidak caturnya, maka Dr Mahathir mula merangka strategi perang dingin sekali lagi. Motifnya adalah menjatuhkan Najib. Modus operandi serupa digunapakai, tetapi kali ini Dr Mahathir tidak mempunyai kuda tunggangan yang cukup kuat dalam kabinet dan UMNO.
Maka, jalan terakhirnya adalah menggunakan kumpulan ekstremis yang seringkali melontarkan sentimen Melayu dan Islam. Najib dipaparkan sebagai sosok yang tidak bermaya, lemah memayungi ‘Melayu dan Islam’.
Tidak mahu mengalah, Najib mula merangka strategi balas. Digerakkan pula idea kesederhanaan. Bermula dengan penubuhan Gerakan Kesederhanaan Global. Diikuti kemunculan kumpulan 25 Melayu Bekas Penjawat Awam Kanan. Kini semakin membesar dengan pertambahan 11 orang lagi dan termasuklah Tun Musa Hitam dan Ku Li.
Namun Najib adalah Najib.
Mengapa Najib kelihatan tidak ikhlas dalam mempelopori gagasan idea kesederhanaan? Najib berterusan gagal untuk mengambil tindakan terhadap kelompok ekstremis ini. Lebih teruk, Najib dilihat termakan umpan kelompok ekstremis apabila menarik semula rancangan untuk menghapuskan Akta Hasutan.
Keengganan Najib ini sebenarnya mempunyai perkiraan politik. Najib bimbang jika tindakan diambil ke atas kumpulan ekstremis pro-Mahathir, sokongan dari dalam UMNO dan kumpulan Ultra Melayu akan menyusut. Yang mana mungkin akan membuatkan kedudukannya semakin parah. Najib juga seorang penagih kuasa.
Dari perspektif lain pula, Najib senang enak dibuai dengan imej kesederhanaan dan kemunculan kumpulan Melayu Professional ini. Sedikit sebanyak ia mampu melunakkan wajah pentadbiran Najib yang semakin terbeban dengan masalah. Desakan demi desakan daripada kumpulan 25+11 ini telah memerangkap imaginasi ramai warga termasuk juga daripada gabungan Pembangkang. Ramai yang alpa akan perseteruan Najib-Mahathir ini.
Adakah Melayu sekarang ini perlukan pertembungan faham politik begini?
Tidak. Itu bukan keutamaannya ketika ini. Seperti rakyat yang lain, orang Melayu juga sebenarnya membicarakan soal ekonomi rumahtangga yang semakin menekan, soal perumahan mampu tengok, soal alam sekitar, soal GST dan banyak lagi persoalan cabaran hidup.
Ini cabaran pokok yang perlu dibela. Dasar Ekonomi Baru, Dasar Bumiputera dan segala macam dasar dirangka tetapi majoriti Melayu tidak mendapat laba. Hanya segelintir yang rapat dengan puncak kuasa yang terus bertransformasi menjadi kelompok maha kaya. Melayu perlu sedar dan tidak terus diperangkap dengan polemik dan permainan sentimen yang tidak berkesudahan.
Hakikat yang perlu difahami adalah pertembungan dua kelompok di dalam UMNO. Demi mempertahankan kuasa, segala jalan digunakan walaupun ia berpotensi menghakis kestabilan dan keharmonian negara ini.
Negara kita sebenarnya sedang dilanda penyakit ketagihan kuasa. Kedua-dua kumpulan ini sedang takut untuk kehilangan kuasa.
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pendidikan Politik
DAPSY Muar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.