`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, January 22, 2015

Kuil Putrajaya: Mengapa baru timbul isu?

Kuil Putrajaya: Mengapa baru timbul isu?
 oleh Sonia Ramachandran

SEKILAS PANDANG: Kuil Hindu di Putrajaya sudah 85 peratus siap, namun Perkasa mahu pintu masuknya dibina di Banting agar penganut Hindu “tidak perlu pusing terlalu jauh ke Putrajaya”.

Perkasa merasa demikian kerana kononnya kebanyakan penganut Hindu tinggal di Banting berbanding Putrajaya.

Bertimbang rasa sungguh Ketua Pemuda Perkasa Irwan Fahmi Ideris dengan cadangannya itu. Menurut laporan, ini kerana lebih realistik apabila pintu masuknya bukan di Putrajaya.

Namun sebelum Irwan mengulas di mana lokasi pintu masuk kuil yang sepatutnya, beliau terlebih dahulu perlu memahami bagaimana sebuah kuil Hindu dibina.

Pengasas dan Presiden Malaysian Community Development Organisation (MCEO) Jeevithan P Ganasan berkata, penganut Hindu berpegang kepada Vashtu Shastra dan Vashtu Purusha Mandala digunakan bagi menentukan pengiraan untuk membina sebuah kuil.

Menurut laman www.vaastu-shastra.com, Vastu Shastra menyatukan sains, seni, astronomi dan astrologi dan juga boleh dikatakan sebagai sains mistik lama bagi pembinaan dan reka bentuk.

Vastu Purusha Mandala adalah bahagian penting dalam Vastu Shastra dan mengandungi asas matematik dan diagram bagi menghasilkan reka bentuk. Ia adalah satu pelan metafizik bagi sesuatu binaan yang menggambungkan perjalanan bintang dan kuasa supernatural.

“Seperti juga masjid yang perlu mengadap arah tertentu (kiblat), kuil juga perlu dibina dengan cara tertentu dan mengadap arah tertentu.

“Kami percaya kuil memilik jiwa sendiri dan pembinaannya perlu memaksimumkan tenaga positif dan ion di alam semesta. Di mana arah ia menghadap, dan kedudukan dewa adalah aspek penting dalam reka bentuk dan pembinaan setiap kuil.

“Lokasi pintu dan arahnya menghadap ditentukan awal sebelum pembinaan kuil bermula,” kata Jeevithan kepada Semut Harian.

Bagi penganut Hindu, katanya lagi, kuil adalah tempat paling mulia, maka pembinaannya menjadi kepentingan utama.

“Bagi penganut Hindu, untuk kedudukan objek dan pembinaan serta pengubahsuaian rumah sendiri pun kami merujuk Vastu Shastra. Sama seperti masyarakat Cina yang merujuk Feng Shui. Lebih-lebih lagi bagi reka bentuk dan pembinaan sebuah kuil.

“Ini semua adalah penting untuk memaksimumkan tenaga positif kosmos dalam kehidupan manusia. Jadi jika rekaan dan pengiraan memerlukan pintu masuk kuil berada di Putrajaya dan menghadap ke sana, maka Irwan tidak patut membuat bantahan. Apatah lagi pembinaannya sudah siap 85 peratus,” kata Jeevithan.

Menurut laporan, Perkasa pada mulanya “tidak gembira” dengan pembinaan Kuil Sri Lalithambikai Alayam di Presint 20 Putrajaya. Irwan pula dilaporkan merasakan kuil itu dibina “di lokasi yang tidak sesuai”.

Irwan juga berkata, beliau bersama-sama Pemuda Perkasa Putrajaya akan menemui Perbadanan Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

Ia berikutan kecaman Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap Perkasa kerana mempersoalkan pembinaan kuil itu. Beliau berkata, ia tidak akan mengancam akidah orang Islam yang tinggal di sana, dan berkata pembinaan itu sudah diluluskan lama dahulu.

“Kita telah bina banyak kuil sebelum ini, bina satu lagi di Putrajaya tidak akan menyebabkan seluruh populasi menjadi Hindu,” kata Adnan seperti dipetik.

Beliau juga menambah, lokasi pintu masuk kuil itu tidak patut dipersoalkan .

Irwan berkata, Perkasa menghormati kebebasan beragama dan sensitiviti penganut agama lain namun lebih realistik jika pintu masuk kuil itu bukan terletak di Putrajaya.

“Ini untuk kemudahan penganut Hindu itu juga, mereka tidak perlu pusing terlalu jauh ke Putrajaya,” beliau dilaporkan berkata.

Adakah Irwan memang seorang yang bertimbang rasa atau hanya membantah penganut Hindu ke Putrajaya? Setakat ini, belum ada penganut Hindu yang membangkitkan soal kesulitan perlu pusing ke Putrajaya.

Pada Januari 2013, bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mengumumkan pembinaan kuil tersebut – yang dipanggil “kuil paling unik di Malaysia” – dengan kos RM12 juta.

Kata Irwan, oleh kerana kuil itu sudah 85 peratus siap, beliau hanya meminta sesuatu yang realistik, untuk pintu masuk di Banting dibina.

Beliau juga seperti menyerang Tengku Adnan, yang merupakan Ahli Parlimen Putrajaya, dengan mengingatkannya bahawa beliau memenangi kerusi Parlimen itu kerana undi Melayu.


“Adakah kalau penganut Tiong Hua mahu tokong dibina di Putrajaya, Ku Nan akan luluskannya?”

“Kami tidak bantah, tetapi tempat itu tidak sesuai,” kata Irwan.

Seperti persoalan Semut Harian, mengapa Irwan membuat kecoh ketika kuil itu hampir siap dibina?

Mengapa tidak membangkitkannya ketika pelan baru sahaja diluluskan, atau pembinaan baru bermula?

Seperti yang dikatakan Jeevithan, di dalam sebuah negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia, perlu ada sikap saling memahami dan toleransi di kalangan penganut agama berbeza demi menjamin pertumbuhan dan kemakmuran negara.

“Sikap bersatu padu adalah asas kepada Malaysia yang makmur dan majmuk. Untuk menjamin hali ini, perlu ada sikap saling memahami antara soal agama satu sama lain.

“Perlu ada rasa hormat antara semua agama. Irwan perlu lebih banyak mengambil tahu tentang reka bentuk asal kuil itu sebelum membuat gesaan seumpama itu,” kata Jeevithan.

Benar Irwan, anda perlu buat kajian dahulu sebelum membuat cadangan aneh seperti itu, atau paling kurang bantah dan beri cadangan pada masa dan ketika yang sesuai.

Bukan ketika tiada apa lagi yang boleh dilakukan, terutama jika pelan asal kuil itu menunjukkan pintu masuknya di Putrajaya.

Untuk rujukan pada masa akan datang, Irwan mungkin ingin mengetahui kelebihan dalam berdiam diri sebelum bercakap berdegar-degar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.