`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 24, 2014

Pegawai Bersekongkol Dengan Sindiket Pembalakan Haram

Pegawai Bersekongkol Dengan Sindiket Pembalakan Haram
KUCHING, 24 Nov -- Pembalakan haram dan penyeludupan sumber asli yang berleluasa di Sarawakadalah disebabkan segelintir pegawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket pembalakan haram, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Adenan, yang baru-baru ini mengisytiharkan perang terhadap pembalakan haram, berkata beliau tidak senang dengan ketua-ketua jabatan yang mendakwa tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk menangani isu itu.

"Kami mempunyai (tenaga kerja yang mencukupi) tetapi tidak menggunakannya secara maksimum dan jadi saya tidak lagi mahu mendengar itu sebagai alasan, " kata beliau dalam ucapannya pada Hari Perkhidmatan Awam 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini Isnin.

Justeru, beliau menggesa pegawai penguat kuasa Jabatan Perhutanan Sarawak untuk komited dan cekap dalam menjalankan tugas sambil menambah bahawa mereka akan dilengkapi dengan kenderaan tambahan dan dibekalkan dengan senjata api semasa menjalankan tugas.

Adenan berkata baru-baru ini beliau telah menangani isu pembalak haram yang menceroboh ke dua taman negara di Sarawak, satu daripadanya ialah hutan paya gambut terbesar di negeri ini yang diisytiharkan sebagai kawasan yang dilindungi.

"Ini adalah isu yang amat serius kerana ia membabitkan warisan semula jadi Sarawak yang amat bernilai dan bagaimanakah ini boleh berlaku di depan mata kita?" soalnya.

Beliau juga mempersoalkan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa dan juga tindakan yang akan diambil untuk membendung pembalakan haram dan penyeludupan sumber asli negeri.

Oleh itu, beliau berkata, ia memerlukan tenaga kerja yang cekap untuk turun padang bagi menyiasat keadaan, menghasilkan strategi konkrit untuk memerangi pembalak haram dan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengekang pembalakan haram pada masa depan.

Adenan berkata kerajaan negeri telah menghentikan pengeluaran lesen yang baharu untuk aktiviti pembalakan dan pemegang lesen pembalakan masa kini telah diberi amaran supaya mematuhi peraturan sedia ada.

Katanya kerajaan negeri berharap untuk mewartakan sekurang-kurangnya satu juta hektar hutan di Sarawak untuk perlindungan dan menambah dengan bertambahnya jumlah taman negara, ia memerlukan tenaga kerja yang lebih cekap yang mempunyai kepakaran yang berkaitan dalam bidang perhutanan dan juga sebilangan besar pegawai penguat kuasa undang-undang yang berwibawa.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.