KUALA LUMPUR, 21 November:
Padah melarikan diri daripada sekatan polis, dua lelaki warga Afrika ditahan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kepong, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Khamis itu, dua suspek berkenaan cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Myvi berwarna putih, selepas polis cuba menahannya.
Jurucakap polis berkata, suspek enggan memberhentikan kenderaan dan memaksa polis melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta suspek.
Akibat tembakan itu, katanya, suspek hilang kawalan lalu terbabas, sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.
“Suspek yang memandu kereta cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan, sementara rakannya kelihatan terkejut di dalam kereta.
“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Kepong untuk siasatan,” katanya.
Menurutnya, pasukan forensik polis menjalankan siasatan di kawasan kejadian dan identiti kedua-dua suspek masih belum dikenal pasti.