`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 16, 2014

FGV kritikal, peneroka kini tanggung hutang?


"Apa dah jadi dengan dengan Felda Global Venture (FGV) sehinggakan ramai peneroka kini hidup dalam tekanan akibat kejatuhan harga komoditi, malah ramai yang terpaksa pula menanggung hutang?"

Itu soalan yang diajukan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Alimin pada sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi.

Menganggap kerajaan sebagai lepas tangan dengan permasalahan yang dihadapi oleh golongan peneroka, banyak persoalan yang telah diajukan kepada pemimpin gagal mendapat respon yang diharapkan.

"Semua peneroka tahu kerajaan dengan Felda telah membuat pinjaman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM6.5 bilion dan pembayaran balik secara ansuran selama 10 tahun.

"Sekarang khabarnya pembayaran balik pinjaman telah di struktur semula kepada 20 tahun. Apa sudah jadi dengan pinjaman tersebut dan bagaimana dengan keuntungan pelaburan yang dibuat daripada pinjaman tersebut?" soalnya.

Lebih menakutkan lagi kata Mazlan, terdapat pinjaman baharu yang dibuat oleh FGV dengan Malayan Banking Berhad yang dijamin oleh Felda sebanyak RM1.6 bilion.

"Bagaimana Felda boleh jadi penjamin dan apakah sebenar yang dicagarkan untuk menjadi penjamin pinjaman tersebut?

"Adakah aset peneroka yang akhirnya akan menjadi taruhan bagi mendapatkan pinjaman tersebut? Semua ini amat membimbangkan kami sedangkan sejak FGV di senaraikan dalam bursa saham, kami asyiklah menanggung kerugian malah kehidupan kami semakin teruk dari hari ke hari," ujarnya.  

Mengharapkan saham yang dibeli akan membawa pulangan setimpal bagi meringankan bebanan peneroka, namun apa yang diharapkan itu tak ubah seperti mimpi.

"Bila terdengar dua anak syarikat kerajaan yang menjadi pelabur iaitu KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen dah mula melepaskan pegangan saham secara beransur-ansur, kami jadi semakin gundah.

"Betul atau tidak berita tersebut dan kalau betul, adakah kedudukan FGV kini sudah di tahap yang tidak boleh diselamatkan lagi?

"Jadi bagaimana dengan janji-janji keuntungan yang telah memberi harapan menggunung kepada peneroka?" katanya.

Bercakap tentang harga sawit dan getah yang semakin merudum, Mazlan berkata, kerajaan sepatutnya mencari satu formula untuk menangani masalah tersebut.

"Kami dah beberapa kali hantar cadangan kepada menteri dan pemimpin terbabit namun sampai sekarang tidak ada maklum balas sehingga pemimpin lama sudah diganti yang baharu.

"Sekarang ni, kami tak harap pun nak jumpa pemimpin terbabit atau menteri tetapi kami amat harapkan agar ada pihak yang sedia menyelesaikan kemelut ini dan seterusnya mengeluarkan peneroka daripada bebanan hidup," katanya.

Tambahnya lagi, jika sebelum FGV di senaraikan, pendapatan peneroka boleh mencecah sehingga RM3,000 sebulan tetapi hari ini, pendapatan peneroka hanya sekitar RM500 sebulan.

"Memang harga komoditi jatuh tetapi perlu ada formula untuk menanganinya dan formula itu telah pun kami beri tetapi tidak dipedulikan.

"Nampak macam senang tetapi sebenarnya ramai peneroka kini hidup dalam hutang yang sukar untuk dibayar termasuklah kereta ditarik oleh pihak bank.

"Walaupun tidak ada perjanjian tentang dividen tetap yang akan diterima oleh peneroka, tetapi sewajarnya saham yang dilabur telah mendapat keuntungan. Malangnya apa yang sampai adalah FGV kini sudah dalam keadaan kritikal," katanya. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.