`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, September 21, 2014

PKR TIDAK PERNAH MENAMAKAN AZMIN ALI SEBAGAI CALON PILIHAN KEDUA SEBAGAI MB SELANGOR.



PKR tidak berganjak daripada keputusannya sebelum ini yang menamakan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan dan pendirian parti itu adalah atas kepercayaan mempertahankan Undang-undang Tubuh Selangor dan sistem raja berpelembagaan.

"Menjawab beberapa dakwaan yang timbul akibat laporan-laporan media berkenaan isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu, saya menegaskan bahawa PKR berpegang teguh kepada keputusan parti yang telah dibuat sebelum ini termasuk seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Biro Politik minggu lalu.

"Oleh demikian, calon PKR bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu tidak berubah iaitu Dr Wan Azizah, presiden PKR merangkap Adun Kajang," katanya  dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin dalam pada itu menafikan laporan berita kononnya Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkompromi dan memberi persetujuan secara lisan kepada calon lain sebagai menteri besar yang baharu.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali telah mendapat persetujuan lisan daripada Anwar dan PKR untuk menggalas tugas itu.

Nama Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad disebut-sebut sebagai calon yang bakal  mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang ke-15.

Bagaimanapun, muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima menghadap Mohamed Azmin, Iskandar yang juga Adun Chempaka dan anggota Exco kerajaan Selangor daripada Pas, Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Adun  Sijangkang secara berasingan pada awal minggu ini.

Akhbar itu melaporkan pertemuan tersebut adalah bagi membolehkan baginda menilai kesesuaian masing-masing untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran Selangor itu dan merupakan sebahagian daripada langkah-langkah akhir untuk memutuskan siapakah calon terbaik yang mampu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 10.30 pagi.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Jumaat dilaporkan berkata nama menteri besar yang baharu akan diumumkan selewat-lewatnya esok (Isnin) bergantung kepada perkenan Sultan Sharafuddin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.