`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, September 23, 2014

PKR Restu Azmin Sebagai YAB Menteri Besar Selangor Yang Baru -VIDEO


Parti keadilan Rakyat sebulat suara merestui Timbalan Presidennya, Azmin Ali sebagai Menteri besar Selangor yang baru menggantikan tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin juga telah mengesahkan menerima surat daripada Setiausaha sulit Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru esok.

Menurut Azmin, beliau akan memulakan tugas berkuatkuasa 23 September 2014 dan akan menghadiri majlis angkat sumpah pada pagi esok di Istana Alam Shah, Klang.

Tambahnya lagi, PKR sebulat suara mencalonkan beliau sebagai calon MB.

“Kita juga telah mengadakan mesyuarat tergempar iaitu mesyuarat biro politik parti jam 5 petang dan pertemuan semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) jam 6 petang dan mesyuarat pimpinan pusat jam 6.30 petang.

“Saya berterima kasih kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kepada semua rakan pimpinan kerana menerima saya.

Azmin kemudiannya memberitahu pemberita bahawa pelantikannya sebagai menteri besar Selangor mendapat restu sebulat suara parti.

Ini sekaligus melabuhkan tabir krisis pelantikan menteri besar Selangor.


Azmin telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat PKR.

Anwar dan Wan Azizah beredar meninggalkan ibu pejabat PKR pada kira-kira jam 7.30 malam ini tetapi Azmin masih berada di situ dan dijangka mengeluarkan kenyataan penuh pada jam 8 malam.

Ketiga-tiga mereka tersenyum ketika mereka keluar dari bilik mesyuarat.

Sementara itu, PAS mengucapkan tahniah kepada Azmin Ali ekoran pelantikannya sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Menulis dalam twitter, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semoga Pakatan Rakyat terus utuh.


KENYATAAN MEDIA
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam reformasi

Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.

Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.

Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.

Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
22 September 2014
 -



Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP
merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng

Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat tergemparnya pada 22 September 2014 telah memutuskan untuk menyokong kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menarik diri daripada jawatan Menteri Besar Selangor berikutan titah diraja oleh DYMM Sultan Selangor untuk melantik Timbalan Presiden PKR YB Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

CEC turut memutuskan untuk menyokong cadangan Dato' Seri Dr Wan Azizah kepada pimpinan PKR untuk mengesyorkan YB Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, selari dengan pendirian CEC yang jelas dan konsisten bahawa calon Menteri Besar Selangor mestilah daripada PKR.

Memandangkan Dato' Seri Dr Wan Azizah memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor sebanyak 30 daripada 56 ADUN, keputusan beliau untuk menyokong YB Azmin Ali adalah juga konsisten dengan pendirian DAP yang tegas dan berprinsip bahawa Menteri Besar Selangor (YB Azmin Ali) seharusnya memiliki sokongan majoriti DUN Selangor.

Atas sebab-sebab ini, CEC memutuskan untuk mengarahkan kesemua 15 ADUN DAP untuk menyokong YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

DAP berasa kesal dengan pengkhianatan 4 orang Ahli Exco Selangor dari PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi Exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas Menteri Besar yang telah kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor.

DAP berharap penyelesaian krisis politik Selangor dan pelantikan YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru akan dapat menepati janji bagi membina Selangor yang lebih baik, yang mampu memberikan keadilan, kebebasan dan kemakmuran ekonomi kepada semua.

Lim Guan Eng 
-




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.