`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 27, 2014

PAS Selangor tidak setuju Azmin kurangkan kuota exco




PAS Selangor menafikan sebarang dakwaan ia bersetuju agar bilangan ahlinya yang menduduki Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dikurangkan daripada 4 sebelum ini kepada 3.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau dimaklumkan yang PAS Pusat juga tidak pernah bersetuju dengan pengurangan yang diputuskan menteri besar baharu itu. 

"Kami berasakan tindakan ini bukanlah satu permulaan yang baik. Bagaimanapun, PAS mahu melihat kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor terus stabil dan dapat melaksanakan agenda-agenda rakyat," katanya. 

Khairuddin yang juga Adun Paya Jaras berkata, sebelum ini, 4 exco PAS kekal di dalam kerajaan negeri walaupun yang lain dipecat oleh menteri besar terdahulu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Katanya, mereka mengambil keputusan kekal demi memastikan kerajaan PR Selangor tidak tumbang walaupun rakan dalam PR lain mempertikaikan tindakan mereka. 

"Oleh demikian, PAS akan tetap kekal mempertahankan kerajaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan malam ini. 

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan kehilangan itu di luar jangkaan tetapi menerimanya dengan hati terbuka kerana memahami kesukaran Azmin membuat pilihan, lapor Harakahdaily. 

Manakala, Dr Ahmad Yunus Hairi, seorang daripada dua exco PAS yang dilantik semula berkata pihaknya terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu sambil menyifatkan mungkin ada hikmah di sebaliknya. 

Sebelum ini, 4 exco daripada PAS ialah Yunus, yang juga Adun Sijangkang, Iskandar Abdul Samad (Adun Cempaka), Sallehen Mukhyi (Adun Sabak) dan Dr Halimah Ali (Adun Selat Klang). 

Bagaimanapun, di dalam exco baru diumumkan Azmin pagi tadi, Sallehen dan Dr Halimah digugurkan, digantikan dengan Adun Taman Templer Mohd Zaidy Abdul Talib. 

Khairuddin berkata PAS Selangor juga berpandangan penguguran Dr Halimah dan Sallehen yang berkhidmat dengan cemerlang sebelum ini adalah tidak berasas. 

Dalam sidang medianya pagi tadi, Azmin menjelaskan keputusan mengurangkan kuota exco PAS itu dibuat setelah mengambil kira pandangan semua pihak dan dipersetujui pemimpin tertinggi PAS. 

"Ini mengambil kira pandangan terbaru dan pandangan semua pihak, dan ia disampaikan kepada semua parti berkenaan, dan itu muafakat yang dicapai semalam," katanya. 

Beliau menafikan keputusan dibuat kerana PAS tidak menyokong calon menteri besar yang dikemukakan PKR dan DAP sebelum ini sehingga dianggap mengkhianati permuafakatan PR. 

"Itu bukan isu. Kita mahu maju ke hadapan dan perkara itu sudah dibincangkan beberapa hari lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.