`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, September 25, 2014

Ini semua konspirasi Najib

Keseluruhan proses ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu konspirasi oleh Najib Razak untuk menghilangkan saya dari persada politik dengan sekali lagi berusaha untuk memenjarakan saya.
Najib Anwar MahkamahPETALING JAYA: Ketua Umum Parti Pakatan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak muktahir ini telah menghalang daripada beliau daripada mendapatkan penghakiman yang adil di dalam rayuan kesnya yang akan datang.
Menurut Anwar, pada 19 dan 28 Ogos yang lalu, peguambelanya yang merupakan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran telah didakwa dua kali di bawah Akta Hasutan, dan kedua-dua dakwaan ini berkait langsung dengan kes rayuan beliau.
“Keseluruhan proses ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghilangkan saya dari persada politik dengan sekali lagi berusaha untuk memenjarakan saya.
“Oleh itu saya nyatakan bahawa saya tidak mempunyai kepercayaan bahawa keadilan akan ditegakkan dalam perbicaraan ini walaupun pasukan pembelaan telah berusaha bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sepertimana yang pernah beliau sebutkan sebelum ini, ini bukanlah satu perbicaraan jenayah. Ini adalah satu sandiwara yang dipentaskan pemerintah untuk memastikan beliau tidak aktif dalam politik demi kelangsungan kekuasaan mereka.
“Pada 1998, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan perkara ini dan tindakan ‘Machiavellian’ beliau menggunakan seluruh jentera kerajaan telah memastikan saya dipenjarakan selama 15 tahun di atas kesalahan-kesalahan yang tidak pernah saya lakukan.
“Inilah kezaliman dan ketidakadilan yang telah diperlakukan terhadap saya dahulu. Ini juga kezaliman dan ketidakadilan yang diteruskan hari ini,” jelasnya.
Katanya, Najib telah melakukan perkara yang sama seperti mentornya, iaitu dengan mengerahkan keseluruhan jentera termasuk media, polis, Peguam Negara dan badan kehakiman untuk memastikan keadilan tidak ditegakkan dan saya dibuang dari persada politik tanah air.
“Mengapa menjadi satu kesalahan jenayah untuk peguambela saya menyatakan hujah pembelaan saya?
“Kenyataan-kenyataan peguam saya untuk membela saya kini dijadikan asas pendakwaan jenayah terhadap beliau. Ini satu penganiayaan. Ia jelas dilakukan untuk menakut-nakutkan pasukan pembelaan saya dan menghalang mereka dari melakukan tugas-tugas profesional serta mencabul hak saya dibawah perlembagaan untuk mendapat khidmat guaman yang baik,” ujarnya.
Jelasnya, rayuannya akan terjejas dan akan bersifat tidak adil dari saat ia dimulakan.
“Pendakwaan-pendakwaan terhadap N Surendran ini hanya mengesahkan dakwaan konspirasi terhadap saya dan mengukuhkan kepercayaan bahawa pihak kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memenjarakan saya,” katanya.
Anwar juga merujuk rayuannya terhadap sabitan kes Fitnah II yang akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober 2014.
“Dakwaan kedua berkait kenyataan N Surendran yang telah bercakap kepada media selepas pengurusan kes rayuan saya bahawa wujud satu konspirasi dalam dakwaan-dakwaan terhadap saya. Sekali lagi saya nyatakan bahawa dakwaan konspirasi adalah salah satu hujah pembelaan saya di mahkamah,” ujarnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.