`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 29, 2014

Exco Pulau Pinang dedah sebab sebenar Iszuree dikeluarkan dari Jawatankuasa Tetap MPPP..


Tindakan kerajaan Pulau Pinang mengeluarkan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP adalah kerana tuduhan berbau fitnah yang dilemparkan beliau.

Ia sama sekali bukan disebabkan kerajaan negeri tidak menghormati demokrasi dan tidak boleh menerima kritikan, kata Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

“Tuduhan dan fitnah yang dilemparkan beliau berniat jahat dan langsung tidak mencerminkan hal sebenar. Kita sentiasa terbuka kepada kritikan dan pandangan selagi mana ia bukanlah fitnah dan cercaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan itu diambil ekoran tohmahan Iszuree yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri dalam Muktamar PAS lalu, kononnya dasar kerajaan negeri tidak berbeza dengan kerajaan BN yang pro-pemaju apabila melibatkan isu kawasan setinggan.

Menurut laporan Bernama, Iszuree dalam reaksinya atas tindakan itu menyifatkannya sebagai ‘tidak demokratik’ dan menunjukkan DAP sebagai ‘cakap tak serupa bikin’.

Mengulas lanjut Afif berkata, sebagai Ahli Majlis MPPP, Iszuree sepatutnya faham bahawa dasar kerajaan negeri sentiasa digubal atas semangat kebertanggungjawaban bersama.

“Berbanding dasar kerajaan BN sebelum ini, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kelulusan pembangunan ke atas tanah setinggan. Ia bagi menggalakkan pemaju berunding dengan setinggan.

“Iszuree sedia maklum tentang perubahan dasar ini. Beberapa kampung yang disebutnya jelas sekali ada hubungkait dengan Umno atau BN,” kata Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR itu lagi.

Malah, katanya lagi, kerajaan negeri telah memberikan bantuan guaman kepada penduduk setinggan yang diheret ke mahkamah ekoran pemaju dan pemilik tanah yang ingin mengusir mereka tanpa bayaran pampasan.

“Kita juga tidak akan memberikan kelulusan pembangunan jika mereka berjaya menang di mahkamah,” katanya lagi.

Katanya lagi, tindakan Iszuree yang cuba mengheret isu lain dan bermain dengan sentimen amat dikesali.

“Beliau perlu menerima bahawa beliau bukan dipilih secara langsung oleh rakyat, tetapi dilantik kerajaan negeri.

“Hakikatnya, sukar untuk sebuah kerajaan negeri melaksanakan tugas jika wujud apa yang dipanggil sebagai ‘gunting dalam lipatan’,” kata Afif. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.