`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 16, 2014

BERITA YANG TIDAK DISIARKAN OLEH UTUSAN, BERITA HARIAN, TV3 DAN RTM... PEMIMPIN DAP MAU BANI MELAYU PERTAHANKAN TULISAN JAWI.



Walaupun DAP sering digambarkan media arus perdana sebagai sebuah parti yang anti Melayu beragama Islam, tidak ramai mengetahui dalam parti itu terdapat pemimpin menguasai tulisan Jawi dan mahu budaya Melayu itu terus dipertahankan.

Pemimpin veteran DAP Dr Tan Seng Giaw yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan Operasi Lalang pada 1987, menganggap tulisan Jawi sebagai warisan budaya Melayu yang istimewa dan menjadi milik negara ini.

"Tulisan Jawi merupakan tradisi yang harus kekal dalam budaya Melayu," kata ahli Parlimen Kepong itu kepada The Malaysian Insider mengenai tulisan Jawi yang sudah wujud lebih daripada 700 tahun itu.

“Kalau mahu pelajari peradaban Melayu maka dekatilah tulisan Jawi," katanya semasa wawancara eksklusif baru-baru ini.

Dr Tan yang dikenali di Parlimen dengan kemahirannya berucap dalam bahasa Melayu termasuk bersyair berkata, menulis Jawi bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya mengerti keunikan tulisan itu.

"Saya mula pelajari Jawi selepas kembali belajar dari England, pada tahun 70-an.

“Di sana mana ada tulisan Jawi, jadi selepas saya kembali Malaysia saya mula belajar daripada Utusan Melayu untuk kenal abjad dan menulis namun saya tidaklah mahir sangat," katanya merendah diri.

Dr Tan berkata menulis jawi bukanlah luar biasa asalkan memahami keunikannya.

Tulisan Jawi pernah menjadi tulisan utama di negara ini dan menjadi penghubung kepada masyarakat Melayu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan, tidak kira dalam bidang kesenian, kesusasteraan dan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan Jawi ketika awal penerbitannya.

Kebanyakan hikayat lama dikarang menggunakan tulisan Jawi seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai dan Hikayat Iskandar Zulkarnain.

Sebab itulah Dr Tan yang merupakan bekas naib pengerusi kebangsaan DAP itu menegaskan, untuk mempelajari budaya Melayu haruslah mengenali dahulu tulisan Jawi.

"Macam mana pun kena juga belajar Jawi, kalau tidak, bagaimana mahu kenal Melayu? Banyak hikayat ditulis dalam Jawi dan Batu Bersurat juga semuanya dalam Jawi," katanya.

Menurut Dr Tan, di Malaysia hari ini penggunaan tulisan Jawi semakin dipinggirkan kerana digantikan dengan tulisan Rumi yang dikatakan lebih mudah.

Katanya kebanyakan generasi muda hanya memandang sepi mempelajari tulisan itu dan yang berminat pula hanyalah dalam kelompok kecil.

Dr Tan berkata sejarah membuktikan mana-mana tulisan di dunia akan hilang sekiranya tidak diamalkan.

Sekiranya tulisan Jawi tidak diamalkan, ia akan hilang, kata Dr Tan.

"Tulisan akan hilang sekiranya kita tidak lagi menulis," katanya, memberi contoh akhbar Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan dalam tulisan Jawi berhenti dicetak sepenuhnya pada Julai 2013.

Menurut Dr Tan, beliau bagaimanapun menolak sekiranya usaha mengekalkan tulisan Jawi dilakukan secara paksaan dengan dijadikan matapelajaran wajib.

"Tidak boleh begitu, sekiranya kita paksa ia tidak akan jadi apa kerana mempelajari tulisan Jawi saya percaya ia memerlukan bakat," katanya.

Beliau berkata, bakat itu boleh dipupuk melalui minat dengan suasana pembelajaran yang selesa dan “menggembirakan.”

"Ia bukan sebab kerajaan tidak buat apa-apa. Sebenarnya ia terletak pada usaha kita.

“Generasi muda ini tidak tahu saluran, namun cuba anda lihat telefon dan carilah tulisan Jawi. Jadi ini semua terletak pada usaha," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.