`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, August 18, 2014

MENJAWAB TUDUHAN MEMPERTIKAIKAN STATUS KEWARGANEGARAAN DATUK SERI WAN AZIZAH ISMAIL YANG TIDAK LOGIK DAN MASUK AKAL.



Kenyataan beberapa pihak bahawa kononnya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor (UTNS) kerana beliau dilahirkan di Singapura dan menjadi warganegara secara naturalisasi adalah tidak tepat.
 

Memang benar Perkara 53 (3) UTNS, menyatakan bahawa seseorang Menteri Besar tidak boleh dipilih dari kalangan warganegara Malaysia yang memiliki kewarganegaraan secara “naturalisasi” atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan Malaysia 

[notwithstanding anything in this Article, a person who is citizen by naturalisation or by registration under Article 17 of the Federal Constitution shall not be appointed a Menteri Besar]
Oleh itu mereka yang menentang perlantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail cuba menggunakan isu kelahiran beliau di Singapura pada 1952 sebagai bukti hilang kelayakan menjadi Menteri Besar Selangor. 

Hujahan ini menganggap angka kod angka 71 dalam nombor Mykad Kak Wan (dan juga seorang lagi calon, Azmin Ali) merupakan bukti penting bahawa mereka merupakan warganegara melalui naturalisasi.

Faktanya, kod 71 sahaja sudah cukup jelas bagi membuktikan Wan Azizah (dan Azmin Ali) bukanlah rakyat Singapura yang menjadi warganegara Malaysia melalui proses undang-undang naturalisasi atau pendaftaran di bawah Perkara 17 Perlembagaan Malaysia. 

Kod 71 dalam Mykad diberikan kepada warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara tanpa mengambil kira negara mana pun mereka dilahirkan. Ini bermakna ibu bapa atau salah seorang daripadanya adalah warganegara Malaysia pada masa itu. 

Perbezaan ini jelas bagi rakyat Singapura menjadi warganegara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara akan memberi kod 66 untuk negara Singapura.

Adalah tidak masuk akal untuk sesiapa sahaja mempertikaikan status warganegara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedangkan Dato' Wan Ismail merupakan rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai agensi dan jabatan kerajaan sejak sebelum merdeka lagi.

Malah mereka yang mempertikaikan status warganegara Kak Wan sebenarnya buta sejarah dan buta perlembagaan kerana sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, Singapura adalah sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu.

Manakala dalam konteks perbincangan isu Kak Wan (dan Azmin Ali) ini, mereka merupakan warganegara tulen seperti majoriti rakyat Malaysia. Warganegara tulen ini dirujuk dalam Perlembagaan sebagai Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang dan djelaskan definisinya dalam Perkara 14.

Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:


(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan 


(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.


(c) (dimansuhkan)


(2) (Dimansuhkan) 


(3) (Dimansuhkan)

____________________________________________ 
CATATAN:


Per. 14:


1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 23, berkuat kuasa dari 16-9-1963, tetapi Fasal (1)(c), (2) dan (3), yang diturunkan di bawah ini, dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:


“(1) (c) tiap-tiap warganegara Singapura.


(2) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, peruntukan mengenai kewarganegaraan Singapura boleh dibuat oleh Perlembagaan Negeri itu, dan boleh dipinda melalui undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri itu dan diluluskan melalui Akta Parlimen.


(3) Kewarganegaraan Singapura tidaklah boleh dipisahkan daripada kewarganegaraan Persekutuan, tetapi jika seseorang warganegara Singapura kehilangan salah satu kewarganegaraan itu maka hilanglah kewarganegaraannya yang satu lagi (tertakluk kepada peruntukan yang dibuat oleh Bahagian ini untuk pendaftaran seseorang warganegara Singapura sebagai seorang warganegara yang bukan warganegara Singapura).”


2. Perkara yang dahulu, seperti yang terdapat pada tarikh pemansuhan, berbunyi seperti yang berikut:


“14. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:


(a) tiap-tiap orang yang, sebaik sebelum Hari Merdeka, menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, sama ada melalui kuat kuasa undang-undang atau selainnya;


(b) tiap-tiap orang yang lahir di dalam Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka;


(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara dan juga telah lahir di dalam Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan sesuatu Negeri;


(d) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu didaftarkan di Konsulat Tanah Melayu atau, dalam hal mana-mana orang yang lahir di dalam mana-mana wilayah ditetapkan, dengan Kerajaan Persekutuan, dalam tempoh satu tahun berlakunya kejadian itu, atau dalam suatu tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana hal tertentu.


Bagi maksud perenggan (d) Fasal ini “wilayah ditetapkan” ertinya Singapura, Sarawak, Brunei atau Borneo Utara, atau mana-mana wilayah lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud itu.
Isu perlembagaan Negeri Selangor
Secara ringkasnya, apa pun perbahasan mengenai status kewarganegaraan Wan Azizah tamat apabila Perkara 14, fasal 1 Perlembagaan negara menyatakan sehingga 9 Ogos 1965, tiap-tiap warganegara Singapura adalah warganegara Malaysia secara kuatkuasa undang-undang. 

Namun ia tidak sepatutnya sampai ke situ kerana ibu bapa Wan Azizah adalah kelahiran Pulau Pinang dan warganegara Tanah Melayu ketika itu. Secara automatik, Wan Azizah merupakan rakyat negara ini seperti mana 14 orang Menteri Besar Selangor sebelum ini dan sekarang. 

Apakah Perkara 17


Sebenarnya Perkara 17, Perlembagaan Negara telah dimansuhkan. Namun semasa penggunaannya Perkara 17 merujuk kepada proses permohonan kewarganegaraan oleh kaum imigran yang berada di Persekutuan Tanah Melayu pada hari Merdeka.

Perkara 17. (Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Persekutuan pada hari Merdeka)-Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).
____________________________________________

CATATAN

Per. 17:


1. Perkataan “pihak berkuasa pendaftaran” digantikan dengan “Kerajaan Persekutuan” oleh Akta 10/1960, perenggan 2(a), berkuat kuasa dari 1-12-1960.


2. Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut, dimansuhkan oleh Akta 14/1962, seksyen 5, berkuat kuasa dari 1-7-1963, pemansuhan itu hendaklah tanpa menyentuh kuat kuasa Perkara itu mengenai mana-mana permohonan untuk pendaftaran di bawahnya yang dibuat sebelum permulaan kuat kuasa seksyen 5 tersebut:


“17. Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih yang bermastautin di Persekutuan pada Hari Merdeka maka orang itu layak tertakluk kepada peruntukan Jadual Kedua didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan–


(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lapan tahun;


(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan;


(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan


(d) kecuali jika permohonan dibuat dalam masa satu tahun selepas Hari Merdeka dan pemohon itu telah mencapai umur empat puluh lima tahun pada tarikh permohonan bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.”


3. Sebutan mengenai Perkara termansuh ini terdapat dalam Per. 25(1), (1A), (2), 28(1)(a), 28A(4), 43(7) dan dalam Jadual Kelapan seksyen 2(3), 20(3).

Justeru andaian status warganegara Wan Azizah melalui Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak benar sama sekali.

Apakah pula kewarganegaraan naturalisasi?


Perkara 19. Kewarganegaraan melalui penaturalisasian.

(1) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati–


(a) bahawa–


(i) dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;


(ii) (dimansuhkan);


(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan


(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.


(2) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati–


(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;


(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan


(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.


(3) Tempoh pemastautinan di Persekutuan atau bahagiannya yang berkaitan yang dikehendaki bagi pemberian suatu perakuan naturalisasi ialah tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan bagi perakuan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu.


(4) Bagi maksud Fasal (1) dan (2), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan; dan bagi maksud Fasal (2), kemastautinan di Singapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.


(5) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.


(6) (Dimansuhkan).


(7) (Dimansuhkan).


(8) (Dimansuhkan).


(9) Tiada perakuan naturalisasi boleh diberikan kepada mana-mana orang sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
Jelas sekali proses kewarganegaraan naturalisasi merujuk kepada warganegara asing yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) dan mahu memohon kerakyatan negara ini. 

Sekiranya ingin mempertikaikan kewajaran Datuk Seri Dr Wan Azizah dilantik menjadi Dato' Menteri Besar Selangor, pertikaian beliau tidak harus dibuat atas alasan Perlembagaan Negara dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang disalah tafsir tetapi hendaklah berhujah dari segi merit dan kemampuan.

Sehingga kini hujah atas landasan dan alasan merit dan kemampuan tidak kedengaran lagi dari penentang-penentang semangat Pakatan Rakyat selain cuba diwar-warkan sebagai seorang wanita sahaja itu pun alasan dan hujah yang agak lemah.

Sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang berbangsa Melayu dan berugama Islam, beliau sememangnya layak dari segi undang-undang untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Janganlah disebabkan perbezaan anutan politik dan sokongan maka kita memberikan hujah dan alasan yang langsung tidak masuk akal.
.. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.