`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 14, 2014

Keberanian Dua Adun Pas Selangor Harus Dipuji



Langkah Kajang semakin hampir menjadi kenyataan. Ia hanya bergantung kepada faktor masa saja lagi. Dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah membuktikan beliau ketika ini mempunyai sokongan 30 daripada 56 Adun, majoriti nyata sudah berpihak kepada Presiden PKR itu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Kejayaan Dr Wan Azizah membuktikan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti, termasuk melalui dua Adun Pas iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin, selain sokongan 15 Adun DAP serta 13 Adun PKR sedia ada, bukan saja menunjukkan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor ini sudah berada di penghujungnya, bahkan juga menjadikan keputusan mesyuarat Pas pada 17 Ogos nanti sudah tidak bermakna lagi.

Harapan Pas dengan menangguhkan mesyuaratnya sebanyak dua kali untuk menjadikan ia mempunyai kuasa tawar menawar, boleh menunjuk kuasa dan dilihat penting dalam mengakhiri krisis, sudah menjadi sia-sia saja ketika ini. Pas juga sudah tidak berupaya lagi menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Sama ada Pas terus menyokong Khalid atau akur dengan kesepakatan dalam PR yang telah terbentuk sejak sekian lama, semuanya sudah tidak bernilai lagi. Mesyuarat Pas pada 17 nanti, jika ia berpendirian menyokong pertukaran Khalid dan akur dengan kedudukannya sebagai rakan gabungan dalam PR, hanya sekadar "rubber stamp" kepada sokongan Shaari dan Hasnul kepada Dr Wan Azizah.

Kiranya pada 17 Ogos nanti, Pas terus menyokong Khalid, ia juga tidak mampu mempertahankan kedudukan kerajaan empat Exco yang sedang dipimpinnya.

Keberanian Shaari dan Hasnul menyatakan pendirian lebih awal daripada partinya sendiri, bukan saja seharusnya dipuji kerana menjadikan drama yang sudah lama berlarutan ini berakhir dengan "happy ending" sebagaimana yang diharapkan oleh banyak pihak, tetapi juga dapat membersihkan nama baik Pas daripada terus menjadi ejekan serta cemuhan ramai berikutan kelewatannya membuat keputusan itu.

Bayangkan, jika terpaksa menunggu sehingga 17 Ogos untuk Pas menyatakan pendiriannya, tentulah dalam masa yang sama juga menyebabkan parti itu terus dipertikaikan dan terdedah kepada bermacam-macam spekulasi. Ia akan menjadikan imej Pas begitu teruk di pandangan umum, selain mula berpecah antara kumpulan ulama dan profesional.

Tetapi dengan keberanian dua Adun ini, semuanya telah berakhir. Nama Pas telah dapat dibersihkan dan dapat menyekat Khalid Ibrahim daripada terus bertindak sesuka hatinya. Walaupun Khalid masih Menteri Besar ketika ini, tetapi semua keputusan dan tindakannya selepas ini sudah tidak berwibawa lagi. Kerajaan Khalid sudah menjadi kerajaan minoriti dan hanya orang yang berkulit tebal serta tiada perasaan malu saja sanggup terus bertahan dengan keadaan seperti ini.

Shaari dan Hasnul bukan saja tidak perlu keluar Pas berikutan tindakannya ini, bahkan Pas juga tidak seharusnya mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka. Mereka adalah penyelamat maruah Pas dan harus diiktiraf peranan serta keberaniannya.

Mereka berdua juga menyelamatkan PR untuk terus kekal dianggotai oleh tiga parti utama iaitu Pas, PKR dan DAP serta dapat memainkan peranan yang sewajarnya sebagai pembangkang yang berkesan dan terus menjadi alternatif dalam pilihanraya akan datang.

Dalam masa yang sama, kenyataan Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor sebelum ini beliau masih mempunyai sokongan majoriti, dengan sendirinya sudah terbatal. Meskipun Khalid cuba bersilat lagi dengan mencabar agar pengakuan sokongan majoriti itu diterjemahkan dalam Dewan Undangan Negeri melalui usul tidak percaya terhadapnya, dari segi pandangan umum mengesahkan bahawa kelayakan moral untuk beliau terus bertahan sudah pun hancur berkecai.

Talian hayat kerajaan empat Exco yang dipimpin oleh Khalid hanya bergantung kepada faktor masa saja. Oleh kerana Sultan Selangor ketika ini berada di luar negara dan hanya akan kembali ke tanahair pada 23 Ogos, pilihan Khalid semakin terbatas sekarang ini.

Jika sebaik kembalinya Sultan Selangor daripada luar negara lalu Khalid mengadap baginda dan memohon diadakan sidang khas DUN, semuanya pasti terjawab ketika itu.

Jika 30 Adun terus kekal bersama Dr Wan Azizah, terpelantinglah Khalid. Itu belum dikira lagi jika Pas juga membuat keputusan pada 17 Ogos nanti turut menolak kepimpinan Khalid. Jika diadakan undian, Khalid yang kini Adun Bebas hanyalah mendapat 12 undi daripada Adun UMNO saja.

Tetapi difahamkan juga Khalid mempunyai tempoh sehingga November untuk menangguhkan sidang DUN. Kalau itu pilihannya, bolehlah beliau mengelakkan undi tidak percaya sehingga November serta bolehlah terus berdondang-sayang dengan jawatan Menteri Besarnya lebih lama lagi.

Jika Khalid bermaruah dan akur dengan kehilangan majoritinya, sekembalinya Sultan Selangor daripada luar negara ini pastilah beliau akan mengemukakan surat perletakan jawatannya. Ia akan membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali kepada PR sebagaimana mandat rakyat dalam pilihanraya umum lalu.

Namun sekiranya Khalid tidak puas hati, beliau juga boleh memohon kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi diadakan suatu pilihanraya negeri. Kiranya diadakan pilihanraya negeri dan kerajaan, menurut SPR terpaksa membelanjakan RM50 juta bagi kos pilihanraya, beban kesalahan sehingga menyebabkan duit rakyat terbazir begitu saja adalah disebabkan kedegilan Khalid yang enggan akur dengan kehilangan kerusi empuknya.

Segala-galanya kini terserah kepada Khalid membuat keputusan. Kecuali jika dalam tempoh sehingga 23 Ogos ini atau selewat-lewatnya sehingga November depan, beliau dapat melakukan misi yang sangat sukar iaitu menterbalikkan semula sokongan majoriti Adun kepadanya daripada yang sudah diperolehi oleh Dr Wan Azizah, hayat politik Khalid sudah boleh dikira berakhir hari ini.

14 Ogos adalah titik penamat moral politiknya.

Tahniah dan sekalung pujian kepada Shaari dan Hasnul kerana bertindak berani mengakhirinya lebih awal daripada yang dijangkakan. (SH 14/08/2014)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.