`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, July 2, 2014

Siapa suruh Melayu bersetinggan di KL?



YANG terakhir Kampung Chubadak sebagai perkampungan kediaman Melayu cuba dirampas daripada penghuninya untuk disedekahkan kepada taikun YTL yang sudah kaya raya itu.
    
Antara isunya pemastautin itu adalah setinggan, bukan waris penduduk asal dan kawasan itu telah dikeluarkan daripada tanah rizab Melayu lama sebelum Jepun datang.
    
Siapa mendiami tanah di situ? Tidak kiralah mereka setinggan atau orang membeli tapak kediaman daripada setinggan atau saki baki waris penduduk di situ sejak Kuala Lumpur itu ada sebelum kedatangan Yap Ah Loy.
    
Jika mereka itu setinggan baik lama atau baru, siapakah yang menyeru supaya orang Melayu selepas merdeka berhijrah ke Kuala Lumpur tidak kira ada pekerjaan atau tidak, tidak kira ada kediaman atau tidak?
    
Tun Razaklah selepas berkuasa sejak kejadian 13 Mei 1969 menyeru orang Melayu jangan tinggal tanpa kerja tetap di kampung. Hijrahlah ke Kuala Lumpur mengisi tanah kosong, mecari apa juga rezeki yang halal di bandar raya itu.
    
Sebelumnya telah ada penduduk tanah haram di Lembah Kelang ini. Masa itu belum diketahui orang gelaran setinggan itu. Telah ada di sana sini orang mendirikan rumah di kawasan kosong dan di celah-celah rumah yang sedia ada.
    
Status mereka adalah penduduk tanah haram. Keberadaan mereka haram atau orang haram.
    
Tetapi setelah diseru oleh Tun Razak (Gambar kiri), datanglah ke Kuala Lumpur untuk bersetinggan, jadilah penduduk sah Kuala Lumpur yang halal berstatus setinggan. Bukan saja tanah kosong kerajaan mereka teroka, tanak milik orang Melayu yang terbiar juga diceroboh setinggan.
    
Pernah bangkit isu kebanjiran setinggan di Kuala Lumpur, lalu apa kata Datuk Bandar masa itu, Almarhum Tan Sri Yaakub Latif, ‘Setinggan-setinggan itulah yang menyeri dan mengindahkan kehidupan masyarakat Kuala Lumpur.’
     
Apa ertinya semua perkembangan itu?
     
Betul atau tidak betul seruan Tun Razak itu, dia adalah pencetus Dasar Ekonomi Baru yang menstruktur semula supaya kawasan bandar tidak dikenali sebagai kawasan satu kaum tertentu saja.
   
Dia mahu sekurang-kurang 30 peratus daripada ekuiti negara milik Bumiputera. Sama ada di belakang seruan Tun Razak itu terselit fikiran cauvanis perkauman atau tidak, tetapi dia adalah untuk memecahkan atmosfera yang menjadikan Kuala Lumpur bandar perkauman.
     
Sebelum KL dibanjiri setinggan tidak ada kawasan Parliman yang di dalam tembok Wilayah Persekutuan sekarang berwakilrakyatkan orang Melayu. Jika PRU 1959 memberi peluang kepada Ahmad Boestamam jadi anggota Parimen Melayu tunggal di Kuala Lumpur, masa itu sebahagian kawasan pilihan raya itu berada di luar Wilayah Persekutuan. Hanya Adun Kampung Baru diwakili orang Melayu.
     
Pemimpin Melayu sekarang patut sedar kebanjiran setinggan Melayu itu adalah untuk menjamin dalam waktu yang terdekat Kampung Baru kekal berwakil rakyat Melayu di samping menambah kawasan pengundi Melayu.
     
Banyak tempat di Kuala lumpur jadi kawasan setinggan Melayu. Tetapi Tun Razak pendek umur. Habis kawasan setinggan itu diroboh. Kawasan yang dinamakan Bumi Hijau di kawasan Parlimen Wangsa Maju sekarang, dulunya dihuni setinggan Melayu tetapi kini sebahagiannya jadi kampus Kolej Tunku Abdul Rahman.
   
Yang terakhir hendak dirobohkan ialah Kampung Chubadak. Apabila ia diserahkan kepada YTL, Chubadak yang membangun nanti akan mengurangkan lagi peratus pengundi Melayu kawasan Parlimen Batu. Penghapusan setinggan di KL, termasuk Chubadak adalah mahu mengembalikan Kuala Lumpur dari segi politiknya ke zaman ia kurang peratus pengundi Melayu. Tun Razak hendak meramaikan orang Melayu di Bandar, anaknya hendak mengurangkan peratus orang Melayu di Bandar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.