`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, July 5, 2014

Saya dipecat sebelum tamat kontrak bukan letak jawatan, kata Prof Redzuan


Profesor Datuk Dr Redzuan Othman memecahkan kebisuannya hari ini dengan menegaskan beliau tidak meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel), tetapi dipecat sebelum kontraknya tamat.

Redzuan dalam kenyataannya tiga hari lalu berkata, jawatan beliau sebagai Pengarah UMcedel tidak disambung kerana beliau akan bersara tahun depan tidak benar kerana kontraknya akan tamat hujung tahun ini.

Redzuan berkata, beliau menerima surat pelantikan sebagai Pengarah UMcedel pada 28 Disember 2013 bagi tempoh 2 Januari 2014 hingga 31 Disember 2014.

"Kontrak saya sebagai Pengarah UMcedel tamat hujung tahun ini. Saya belum bersara lagi (waktu itu).

"Pada 30 Mac 2014, saya terima surat bahawa jawatan saya digantikan dengan Dr Amer (Saifude Ghazali)," kata Redzuan kepada The Malaysian Insider.

Profesor Redzuan berkata dalam kenyataan rasmi UM dua hari lalu, "Alasan yang diberikan adalah sebab saya akan bersara tahun depan. Tetapi jawatan (Pengarah UMcedel) tamat pada 31 Disember 2014, saya belum bersara lagi."

Ketika ditanya apakah beliau ditekan untuk meletakkan jawatan sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, Redzuan menjawab, "Saya tidak tahu hendak mentafsir ia daripada maklumat di atas."

Katanya, sebagai kakitangan kerajaan, kuasa melantik mutlak di bawah pengurusan UM.

"Orang lain dilantik dan saya ditamatkan khidmat. Saya tidak pasti apa kategorinya," kata beliau.

Ketika ditanya The Malaysian Insider, "Jadi bukannya Profesor meletakkan jawatan kerana ditekan sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini?" Redzuan menjawab:

"Isunya mengapa jawatan ditamatkan? Takkanlah menteri hendak keluarkan surat suruh letak jawatan berserta alasan dan maklumatnya sekali."

Awal Julai baru-baru ini, Redzuan juga tidak dilanjutkan khidmatnya sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) walaupun dilaporkan mendapat undian tertinggi di kalangan kakitangan akademik fakulti itu untuk terus menjawat jawatan itu.

Bagaimanapun, Redzuan berkata, beliau akan terus memberikan khidmatnya termasuk kepada Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) walaupun tidak lagi menjadi pengarah di situ jika diperlukan.

"Saya akan terus memberikan khidmat kepada UMcedel jika diperlukan, walaupun bukan sebagai pengarah," kata Redzuan kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan Redzuan mendapat tekanan politik daripada Kementerian Pendidikan sehingga terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel April lalu.

Ia hanya dipecahkan oleh media dua bulan kemudian apabila Redzuan tidak lagi disambung khidmatnya sebagai Dekan FSSS.

Perkara ini kemudiannya disahkan oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Saifuddin
Abdullah dalam satu kenyataannya kepada The Malaysian Insider.

Saifuddin berkata, beliau tahu mengenai campur tangan kementerian berhubung jawatan Redzuan di pusat penyelidikan itu sejak kira-kira dua bulan lalu.

"Saya tahu perkara ini sejak awal. Saya tahu Prof Redzuan dipanggil oleh pengurusan universiti dan beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan tidak begitu gembira dengan beliau dan diminta meletakkan jawatan," kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno dan juga Timbalan Menteri Pendidikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Saifuddin berkata, beliau kemudian mendapatkan pengesahan daripada naib canselor UM mengenai hal itu.

"Sepanjang pengetahuan saya, naib canselor dihubungi seseorang daripada kementerian dan mesejnya adalah Redzuan tidak perlu terus memegang jawatan pengarah UMcedel," katanya.

Dekan FSSS

Redzuan sepatutnya dikekalkan sebagai Dekan FSSS selepas penggal lalu tamat Jun lepas, kerana beliau dikatakan mendapat undi tertinggi untuk terus memegang jawatan itu.

Namun pihak pengurusan UM mengambil keputusan untuk menukar Redzuan dengan alasan beliau akan bersara tahun depan selepas mencecah umur 60 tahun.

Padahal isu akan bersara tahun depan tidak berbangkit ketika pengundian dibuat untuk memegang jawatan itu.

"Saya yakin beliau mendapat lebih 100 undi daripada kira-kira 140 kakitangan akademik yang ada," kata sumber akademik universiti itu kepada The Malaysian Insider di samping mempertikaikan mengapa jumlah undi tidak pernah diisytiharkan.

Namun, kata sumber itu, nasib baik pihak pengurusan universiti memilih timbalan kepada Redzuan, iaitu Profesor Md Sidin untuk menggantikan beliau, kerana fakulti itu mempunyai sejarah mengenai orang yang mereka tidak suka dipilih.

"Lima tahun lalu universiti memilih seorang pensyarah yang disukai kakitangan... kecoh ketika itu," katanya.

Redzuan dikatakan berjaya membawa FSSS ke aras terbaik apabila ia menjadi fakulti kedua selepas perubatan berdasarkan jumlah pelajarnya yang mendapat pekerjaaan selepas tamat belajar.

Sumber itu yakin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tan Sri Arshad Ayub turut memainkan peranan dalam menekan pihak pengurusan universiti agar menekan Redzuan.

"UM seperti cawangan Umno sahaja bagi Arshad," kata sumber itu.

"Saya difahamkan, semasa Profesor Ghauth Jasmon menjadi Naib Canselor dahulu, Arshad pernah menekan agar Prof Redzuan tidak menjaga UMcedel, tetapi Ghauth tidak layan," kata sumber itu, kerana bagi Ghauth, universiti perlu bebas daripada campur tangan politik pihak luar dan Ghauth berani mempertahankan prinsip itu.

Ghauth menjadi Naib Canselor UM sehingga penghujung 2013 sebelum diambilalih oleh Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Sumber itu juga bersetuju dengan laporan sebelum ini bahawa rakan Redzuan dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Datuk Zaini Ujang yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, mungkin turut terlibat.

"Saya rasa bukan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin terlibat secara langsung. Saya lebih percaya Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh yang terlibat," kata sumber itu.

Namun, Arshad ketika dihubungi menafikan dakwaan beliau terlibat menekan Redzuan agar meletakkan jawatan.

"Saya tidak terlibat dalam menekan universiti agar Profesor Redzuan meletakkan jawatan dan tidak juga semasa Tan Sri Ghauth Jasmon ataupun bila-bila masa.

"Mengatakan saya jadikan UM umpama cawangan Umno tidak benar dan tidak wajar sama sekali (dakwaan itu)," katanya.

1 comment:

  1. Sebenar nya bila bekerja sebagai sorang penayarah diuniversiti tanpa jawatan macam macai tepi jalan saja. Tapi jika penayarah ini berkalibar dalam penyelidikan, penyeliaaan pelajar santana, pengajaran sarjanamuda yang mantap dan beserta dengan penerbitan, penayarah ini tidak perlu risau ttg jawatan pentadbiran. Selalunya "dead wood" yg sibuk mengejar jawatan pentadbiran (Pengarah Pusat, Dekan, dsbnya). Lagi pulak jawatan pentadbiran di universiti bukan tetap. Jadi bila dengar berita Prof Ridzuan ni, bila tiada jawatan balik jadi penayarah macai saja, dia sudah kena penyakit "down syndrome"...tak ada jawatan, jadi penayarah macai biasa. Lagi pulak Prof Sejarah, buat lah penyelidikan dlm bidang sejarah sebelum pencen ni. Kalau nak glamour jadi Pengarah Pusat sibuk buat kajian soal selidik politik, tak payah ambik gaji professor, 17-18ribu sebulan??? Buat kajian politik jalanan utk ampu golongan tertentu. Baik pergi kerja di universiti "private", cuba jual bidang sejarah Atau politik "low class" utk dapat 17-18ribu sebulan. Sedar lah diri sikit. Cuba kerja sendiri dgn bidang sejarah utk dapat duet halal sebanyak itu sebulan. Memalukan martabat profesor saja, UM pulak tu. Low class sungguh.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.