`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 7, 2014

PANAS - Pededahan Berani Mati Prof. Tan Sri Dr Ghauth Jasmon

Putrajaya sering mengganggunya kerana penemuan hasil kajian UMcedel, kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.


Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) mendedahkan beliau sering diganggu Putrajaya kerana penemuan pusat kajian universiti tersebut, menguatkan dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak puas hati dengan hasil kerja mereka.

Profesor Tan Sri Dr Ghauth Jasmon yang sebelum ini memegang jawatan naib canselor universiti awam tersebut dari 2008 hingga 2013 berkata, ahli politik kanan pernah memarahinya kerana tidak mengawal Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, bekas pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel).

"Sebenarnya, political masters sangat marah dengan saya kerana Profesor Redzuan," kata Ghauth kepada The Malaysian Insider melalui khidmat mesej WhatsApp.

“Saya dimarahi oleh orang politik kerana Redzuan dan UMcedel dan diberikan amaran tentang jawatan (sebagai naib canselor) saya," katanya.

Beliau berkata, sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu beliau menerima amaran daripada seorang pemimpin kanan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang meradang dengannya.

"Saya dimarah teruk dan diberikan amaran sehari selepas hari pilihan raya umum lalu, kira-kira jam 11 pagi.

"Orang itu berkata, sebagai NC (naib canselor) saya perlu mengawal Redzuan dan tidak membenarkannya bercakap sebebas-bebasnya," kata Ghauth tanpa mahu menamakan ‘orang itu’, tetapi mengesahkan beliau adalah orang politik.

Kajian dibuat UMcedel di bawah pimpinan Redzuan sebagai pengasas dan pengarah mengenai politik dan pilihan raya di negara ini tidak disenangi oleh pihak berkuasa Malaysia kerana kebanyakan laporan kajian tidak memihak kepada mereka.

Antaranya, kajian UMcedel menunjukkan populariti Datuk Seri Anwar Ibarahim sebagai ketua pembangkang melebihi populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri menjelang PRU13.

Najib menolak hasil kajian tersebut dan mempersoalkan metodologi yang digunakan.
Tetapi BN tetap menang PRU13 dengan majoriti lebih rendah iaitu 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat 89 daripada 222 kerusi.

Bagaimanapun, PR mendapat undi popular yang lebih besar berbanding BN dalam PRU13.

Ghauth berkata, walaupun beliau ditekan Putrajaya, beliau tetap mempertahankan Redzuan.

"UM adalah institusi akademik, bukan institusi politik. Tugas saya sebagai NC adalah mempertahankan kemurnian institusi akademik ini.

"Tanpa mengambil kira jika orang suka atau tidak, kebebasan akademik institusi ini berada di atas segala-galanya,” katanya.

Ghauth merupakan Naib Canselor ke-10 UM selama 5 tahun sebelum kontraknya berakhir.

Sebelum itu beliau merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif Universiti Multimedia selama 11 tahun.
UMcedel ditubuhkan semasa zaman beliau sebagai naib canselor. Bermula dengan kelulusan Senat, UMcedel kemudiannya diluluskan penubuhannya secara penuh oleh Lembaga Pengarah UM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Arshad Ayub.

UM menamatkan khidmat pengarah UMcedel, Redzuan pada 31 Mac lalu sebelum kontraknya tamat pada 31 Disember 2014.
Redzuan juga tidak disambung perkhidmatannya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pada 1 Julai lalu, walaupun dikatakan mendapat undi tertinggi di kalangan calon kakitangan akademik untuk meneruskan jawatan itu.

"Saya amat sedih dengan apa yang berlaku sekarang.

"Tetapi saya masih menaruh harapan," kata Ghauth.

Ghauth berkata, pada awalnya Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Arshad juga tidak senang dengan kajian Redzuan di UMcedel.

"Ya benar, pada satu waktu itu, dia marah dengan saya kerana UMcedel. Tetapi selepas satu pembentangan yang dibuat Redzuan dalam mesyuarat ALP, pengerusi ALP berubah fikiran dan mengesahkan pembentukan UMcedel, dan saya boleh lihat Arshad sangat baik dengan Redzuan selepas itu.

"Semua ALP gembira selepas pembentangan Redzuan dan mengesahkan UMcedel dalam mesyuarat itu," kata Ghauth yang turut memaklumkan sebelum itu, UMcedel diluluskan oleh Senat UM yang dipengerusikan beliau sebagai naib canselor.

Ghauth berkata, beliau dan rakan-rakan meletakkan sasaran untuk membawa UM ke dalam senarai 100 universiti terbaik menjelang 2015.

"Saya letakkan sasaran untuk membawa UM ke dalam Top 100 menjelang 2015.

"Saya secara peribadi yakin perkara ini akan membawa Malaysia di kedudukan bertaraf dunia," katanya.

Ketika ditanya apakah beliau masih yakin sasaran itu akan tercapai menjelang 2015 atau hancur dengan apa yang berlaku sekarang, Ghauth menjawab:"Saya tidak pasti, tetapi saya rasa ia akan menjadi sukar," katanya.

UM menyasarkan untuk memasuki kedudukan Top 100 dalam ranking QS World University Ranking 2015.

Walaupun menjadi universiti terbaik negara, UM berada di tangga 167 untuk penilaian 2013/2014, jatuh dari tangga 156 yang dicapai pada 2012.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.