`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 7, 2014

Keselamatan Sabah: Di mana kelemahan kita?

Berapa banyak lagi perbelanjaan yang perlu jika kita terus berada di dalam keadaan urustadbir, perlaksanaan dan penguatkuasaan yang lemah?
COMMENT
Sabah KidnaoOleh Er Teck Hwa
1 April genap setahun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ditubuhkan dengan menelan perbelanjaan lebih RM200 juta. Bagaimanapun, kejadian penculikan di pusat-pusat peranginan di sekitar Esszone tetap berlaku juga.
Tanpa ingin meletakkan sepenuhnya beban kesalahan kepada Esscom semata-mata, namun kejadian penculikan ini sekali lagi menunjukkan pintu sempadan kita begitu mudah lolos.
Saya sering membangkitkan persoalan tahap keselamatan pintu sempadan negara sama ada pada sesi Dewan Rakyat penggal lepas mahupun yang sedang berlangsung sekarang ini.
Kejadian penculikan ini akhirnya telah mencelikkan kita semua betapa selama ini sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri ini yang telah diberikan peruntukan beratus juta rupanya tidak mempunyai bidang kuasa.
Esscom hanyalah penyelaras yang melibatkan pelbagai agensi semata-mata. Sungguhpun, Esscom tidak mempunyai kuasa untuk mengawal semua agensi-agensi tersebut tetapi sebagai penyelaras Esscom seharusnya mempunyai tanggungjawab penuh bagi menyelia peranan dan kawalan antara agensi bagi memastikan tiada ruang dapat ditembusi oleh penculik-penculik mahupun mereka yang mempunyai niat tidak baik terhadap negara kita.
Ramai telah pun membangkitkan persoalan bidangkuasa ini. Pejabat Peguam Negara perlu segera tampil memperjelaskan perkara pokok ini.
Apakah sebenarnya tugas, tanggungjawab, peranan dan bidangkuasa Esscom? Tidak wajar kita membelanjakan lebih RM200 juta untuk satu perkara yang tidak jelas peranan dan bidangkuasa.
Siapakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap Esscom memandangkan Esscom ini terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri?
Peningkatan tahap siapsiaga
Apabila berlaku tragedi Tanduo, Lahad Datu, kita semua bersetuju betapa aspek keselamatan di Pantai Timur Sabah segera ditingkatkan. Dan apabila Esscom ditubuhkan untuk mengawal 10 kawasan di Esszone, ia merupakan satu permulaan yang agak baik.
Timbalan Perdana Menteri telah mengarahkan Esscom untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka setelah tragedi ini berlaku. Malah, Kabinet juga akan meneliti semula semua aset-aset yang disediakan untuk Esscom.
Dan apabila Esscom ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri seharusnya pemantauan dan kajian berterusan harus kerap dilakukan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan juga risikan sentiasa berada di tahap terbaik bagi mengelakkan kejadian seumpama ini terjadi.
November 2013 iaitu selepas tujuh bulan Esscom ditubuhkan, negara digegarkan dengan tragedi penculikan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah yang akhirnya meragut satu nyawa manakala pasangannya ditahan lebih sebulan sehinggalah keluarga mangsa membayar wang tebusan.
Kini, selepas setahun terjadi lagi. Apakah kerajaan dan kabinet ingin mengatakan bahawa Esscom masih lagi longgar dan tidak cukup bersedia atau tidak mempunyai cukup aset untuk menghalang terjadinya kes seumpama ini?
Apa sudah jadi dengan latihan simulasi penculikan di pusat peranginan di Sabah? Apa yang berlaku pula terhadap Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) yang dikatakan berupaya memintas aktiviti penjenayah?
Bagaimana Prosedur Operasi Standard yang digunapakai bagi tujuan mengawal dan mengekang penjenayah?
Satu persoalan lagi, adakah terdapat ruang-ruang kelemahan risikan sehingga menyebabkan QRF tidak dapat memintas kumpulan penculik ini sama ada sewaktu mereka memasuki atau keluar dari kawasan tersebut?
Geografi Sabah
Hujah yang menyatakan bahawa keadaan geografi di Pantai Timur Sabah ini menyukarkan usaha mengawal sempadan juga merupakan satu alasan yang tipikal dan lemah.
Tidak ada mana-mana individu pun yang selama ini tidak mengetahui mengenai keadaan geografi di sana. Seharusnya, sewaktu penubuhan Esscom lagi, perkara ini telah diambil kira dan diperhalusi secara komprehensif.
Perancangan teliti seharusnya telah dirangka sewaktu penubuhan. Bukannya hujah ini terus digunakan sebagai satu alasan bagi menutup kelompangan yang berlaku. Ini terus menunjukkan kegagalan pihak kerajaan dalam mengawal keselamatan perairan Sabah.
Malah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar nampaknya masih gagal mempelajari kesilapan beliau dalam memberikan sebarang kenyataan.
Jika sebelum ini, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan di dalam Dewan Rakyat yang tidak sensitif terhadap isu rogol, kini sekali lagi beliau mengeluarkan kenyataan yang dangkal.
Mengatakan bahawa Singamata Reef Resort ini merupakan satu pusat peranginan yang terpencil sehinggakan meminta untuk ditutup adalah merupakan kenyataan yang tidak mencerminkan status Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Hakikatnya, Singamata Reef Resort ini hanya terletak kira-kira 1.5 km daripada bandar Semporna dan memerlukan hanya 15-20 minit jika menaiki bot daripada jeti Semporna.
Walaupun benar kita tidak boleh menjamin keselamatan pengunjung 100%, kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri ini menunjukkan seolah-olah beliau cuba mencuci tangan daripada masalah yang berlaku dengan terus memberikan alasan yang lemah.
Keadaan geografi dan perairan di Sabah adalah merupakan permata yang berharga kepada sektor pelancongan negara kita. Kita tidak boleh terus mengarahkan pusat peranginan tumpuan pelancong ini ditutup hanya kerana kita gagal dalam mengawal keselamatan.
Kegagalan APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merupakan antara agensi yang terlibat di dalam Esscom.
Malah, APMM ini juga telah diberikan banyak peruntukan termasuklah dalam aspek pemilikan aset Pasukan Polis Marin sewaktu penubuhannya dahulu.
Dalam jawapan kepada soalan Dewan Rakyat bertarikh Oktober 22, 2013 kepada saya, Menteri Dalam Negeri telah mengakui bahawa sebenarnya APMM ini telah dilihat gagal dalam menjalankan peranan, tugas dan tanggungjawab mereka.
Menteri juga telah mencadangkan agar Pasukan Polis Marin diperkukuh dan diperkasakan semula dengan dikembalikan tugas dan tanggungjawab yang lebih besar termasuklah memperluaskan kawasan tanggungjawab di laut.
Adakah kerajaan tidak menyedari akan kegagalan APMM ini? Seharusnya agensi-agensi yang terlibat di dalam Esscom ini boleh diyakini dan tidak tercalar kredibilitinya.
Bagaimana satu agensi yang telah dikatakan gagal oleh Menteri Dalam Negeri masih terus dibiarkan berada di dalam Esscom dan ditugaskan untuk menjaga sempadan perairan negara yang sangat berisiko ini?
Esscom, walaupun satu langkah yang bagus dalam menjaga sempadan perairan negara, namun seperti juga yang berlaku dalam banyak dasar selama ini apabila perlaksanaan dan penguatkuasaan yang rapuh, telah menjejaskan keupayaan agensi ini.
Apa pun juga langkah dan dasar yang kita ambil, jika masalah pengurusan, perlaksanaan dan penguatkuasaan lemah dan rapuh, kita tidak dapat menggunakan peranan dengan maksimum.
Akhirnya, perbelanjaan yang telah kita peruntukkan hanya membawa kerugian tanpa keputusan yang baik dan diharapkan serta seterusnya atas nama pengukuhan, kita akan terus mengeluarkan perbelanjaan demi perbelanjaan.
Persoalannya, berapa banyak lagi perbelanjaan yang perlu kita keluarkan setiap tahun jika kita terus berada di dalam keadaan urustadbir, perlaksanaan dan penguatkuasaan yang lemah?
Inilah masalah utama negara kita. Bukan dasar yang tidak bagus tetapi urustadbir dan perlaksanaan kerajaan itu sendiri yang berdepan masalah.
Penulis adalah Ahli Parlimen Bakri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.