`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, November 5, 2012

Penghinaan terhadap Raja (in Malay)


Negara digemparkan lagi dengan kes penghinaan kepada Raja. Kali ini seorang lelaki berumur 27 tahun bernama Ahmad Abd Jalilditahan untuk disiasat di bawah Akta Hasutan 1948. Sekali lagi kes penghinaan ini melibatkan Sultan Johor. Persoalannya, mengapa asyik Sultan Johor dan kerabatnya sahaja yang menerima penghinaan? Selain daripada mencari salah orang lain, mungkin kerabat di-Raja Johor juga perlu melihat diri sendiri mengapa terdapat rakyat membenci mereka, bukan hanya satu kes, bukan dua, dan bukannya tiga!

Desas-desus mengatakan kes ini berkaitan dengan facebook seorang yang bernama Zul Yahya tetapi tidak dapat dipastikan kebenarannya. Untuk kes seperti Zul Yahya ini memang patut dihukum kerana ini adalah suatu bentuk penghinaan terlampau. 

Begitu juga dengan kes Aduka Taruna, walau pun sesetengah penyokong Pakatan Rakyat menganggap pemuda ini sebagai hero, penulis tetap mengatakan tulisannya yang menghina kemangkatan Almarhum Sultan Johor adalah suatu bentuk penghinaan terlampau.


Negara-negara maju yang mengamalkan sistem beraja dan kebebasan bersuara seperti di Netherlands juga mempunyai kanun keseksaan Crimen laesae-Majestatis yang boleh mendakwa mana-mana individu yang menghina ratu atau pasangannya. Pada tahun 2007, seorang lelaki bernama Regilio Amelo dikenakan denda €400 kerana menghina Ratu Beatrix dengan berkata "I hate your Queen, she is a whore". Dalam tahun yang sama, seorang wanita muda yang juga merupakan seorang wartawan ditangkap kerana memakai t-shirt yang tertulis "Beatrix is a whore".

Contoh-contoh di atas adalah penghinaan yang sememangnya layak untuk dihukum. Penulis dan Malaysian in Crisis juga sama sekali tidak bersetuju dengan pelakuan yang tidak melambangkan ketemadunan manusia seperti penghinaan dengan menggunakan bahasa yang menjijikkan kepada Raja-raja Melayu dan pemimpin. Selain daripada contoh penghinaan terlampau terhadap Raja-raja seperti di atas, kes memijak gambar YAB Perdana Menteri, kencing gambar YAB Menteri Besar Kelantan dan kes-kes seumpamanya juga tidak boleh diterima. Tanpa mengira ideologi politik, ini adalah sifat-sifat yang memalukan dan tiada langsung melambangkan sikap Melayu yang bersopan santun, padahal ke hulu ke hilir bercakap pasal perjuangan Melayu - tidak kira UMNO, PAS atau PKR!

Tetapi adakah komen Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengenai pembaziran membeli sekeping plat kenderaan bernombor WWW1 adalah suatu bentuk penghinaan? Adakah siri-siri pembongkaran salah-laku Sultan Johor dan kerabatnya beserta bukti-bukti yang diberikan oleh Uncleseekersadalah suatu bentuk penghinaan? Adakah pendedahan Peguam Kamal Hisham dalam blognya mengenai penipuan dalam pemberian harta pusaka Almarhum Sultan Iskandar oleh Sultan Ibrahim adalah suatu bentuk penghinaan? Adakah pendedahan oleh Malaysia in Crisis mengenai salah-laku yang tidak mencerminkan kelakuan bakal seorang Ketua Agama Islam negeri Selangor adalah suatu bentuk penghinaan? Adakah komen Dr. Asri seperti di bawah juga dianggap satu penghinaan kepada institusi beraja?



Jika jawapan anda adalah YA kepada persoalan-persoalan yang diajukan di atas, kemungkinan besar anda adalah manusia berjiwa feudal yang berfikiran ke belakang, jauh ke belakang dari pemikiran orang-orang Melayu yang hidup sebelum merdeka lagi.

Zaman sebelum merdeka lagi telah ada ramai rakyat yang menentang Raja-raja Melayu atas tindakan mereka yang membelakangkan kepentingan orang Melayu sendiri dan salah-laku yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Raja. Antara blog entry Cicit Daeng yang pernah menyentuh perkara ini ialah seperti Istana Johor sebenarnya menolak kemerdekaan! bertarikh 31 Ogos 2012, Merdeka vsHidup Melayu bertarikh 27 Julai 2012, Jauhi Pintu Raja kata Imam Syafi'i bertarikh 23 Julai 2012 dan Klon Uncleseekers bertarikh 12 Julai 2012.

Diberikan petikan akhbar Kenchana bertarikh 1 Februari 1947 bertajuk 'Rakyat Jelata Melayu Jangan Dibodohkan Terus'. Rakyat kelas bawahan pada zaman tersebut telah menentang Raja melalui penulisan. Apa yang Raja salah, rakyat tegur. Adakah itu satu bentuk penghinaan? Tidak! Ini bukan satu penghinaan tapi perjuangan!  

Tetapi manusia zaman millenium ini berfikiran ke belakang. Jika memberi sebarang komen mengenai Raja, itu dikira satu penghinaan dan akan didakwa di bawah Akta Hasutan. Terdapat golongan rakyat terutamanya juak-juak di facebook Kesultanan Johor yang seakan bertuhankan Sultan. Pada mereka, Tuhan dan Nabi dihina tidak mengapa, jangan Sultan yang dihina!



"Kerajaan Inggeris, Raja-Raja Melayu dan orang-orang Besar Melayu patut sedar yang Rakyat Jelata Melayu masa ini bukan boleh disamakan seperti masa sebelum perang yang baharu lepas ini atau seperti orang Melayu zaman dahulu kala hanya menyerahkan nasibnya dan jiwa raganya kepada Raja-rajanya..." - petikan daripada Akhbar Kenchana bertarikh 1 Februari 1947


Akhbar Majlis, 9 Februari 1948

Bukan hanya rakyat kelas bawahan sahaja yang menentang Raja disebabkan kesalahan yang mereka lakukan, tetapi golongan elit yang menubuhkan UMNO juga menentang Raja-raja hingga lahirlah ungkapan "Raja itu Rakyat, Rakyat itu Raja"! 

Itu yang berlaku kira-kira 65 tahun dahulu. Rakyat pada zaman itu telah tahu apa sebenarnya maksud penghinaan. 20 tahun sebelum itu, Dato' Onn Jaafar telah menentang Sultan Sir Ibrahim kerana tindakan-tindakan baginda, antaranya mempergunakan askar Johor Military Force (JMF) sebagai buruh paksa untuk membina padang lumba kuda dan bekerja di ladang milik Sultan. Askar-askar ini dikerah menanam getah rambong kerana dikatakan harganya lebih mahal. Kemudian, apabila Sultan mendapat berita getah para adalah lebih mahal harganya, maka getah-getah rambong yang sedang tumbuh diminta cabut dan ditanam pula dengan benih getah para. Bukan sahaja berlaku kerahan tenaga malah ini adalah merupakan satu pembaziran. Jadi, adakah tindakan Dato' Onn Jaafar yang menentang tindakan Sultan Sir Ibrahim ini satu penghinaan? 

Penentangan terhadap salah-laku Raja-raja Melayu terus berlaku selepas kemerdekaan dan antara penentangan terbesar ialah Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Imuniti Raja-raja. Walaupun media alternatif pro-Pakatan Rakyat mengatakan ini adalah penderhakaan terbesar UMNO kepada Raja-raja Melayu, tetapi sebenarnya itu hanya untuk mendapatkan mileage politik.Politik masa kini Malaysia dilihat sebagai politik yang tidak matang

Kekebalan atau imuniti Raja-raja dihapuskan adalah bersebab. Tetapi kerana ianya dipelopori oleh UMNO, maka ianya dilihat sebagai penderhakaan oleh pihak pembangkang. Di pihak UMNO pula terutama lembu-lembu Pemuda UMNO Johor, perkara sekecil tweet Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengenai bidaan plat bernombor WWW1 membawa kepada satu himpunan besar-besaran 'Menjunjung Kasih dan Taat Setia kepada Sultan Johor'. Tidak kira UMNO, PAS ataupun PKR, semuanya derhaka sana, derhaka sini tanpa melihat kepada isu sebenar.

Kesimpulan
Di negara kita pada zaman ini, apabila berlakunya pendedahan salah-laku Raja-raja, maka ianya dilihat sebagai satu bentuk penghinaan dan penderhakaan. Apabila laporan polis dibuat, sepantas kilat pasukan polis akan menyiasat dan menahan suspek. Keadaan yang berlaku hari ini adalah lebih teruk daripada apa yang berlaku di zaman 1990an di mana salah-laku Raja-raja dibincang secara terbuka di akhbar-akhbar tempatan dan kesalahan mereka juga ditegur. Walaupun penulis Cicit Daeng bukanlah menyokong sepenuhnya kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun beliau menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia, tetapi tindakan beliau dalam menghapuskan imuniti raja-raja disokong sepenuhnya. Perlu diingat, sebelum pindaan perlembagaan dibuat, Artikel 181(2) menyebut"no proceedings whatsoever shall be brought in any court against the Ruler of a State in his personal capacity". Maka, terjadilah kes-kes pembunuhan dan memukul rakyat sesuka hati. 

Filem kisah pembunuhan kedi oleh Sultan Johor dan Prebet Adam
Terdapat juga suara-suara untuk mengembalikan imuniti Raja-raja Melayu. Apa perlunya imuniti ini dikembalikan?Adakah supaya Raja-raja ini tidak boleh didakwa di Mahkamah Khas atas kesalahan peribadi? Adakah supaya Raja-raja ini boleh memberi pengampunan kepada diri sendiri atau kaum kerabatnya yang melakukan kesalahan jenayah? Dalam sejarah pernah berlaku kes pembunuhan oleh Tunku Mahkota Johor pada ketika itu, Tunku Mahmood Iskandar dan kemudiannya diampunkan oleh ayahandanya Sultan Ismail. Begitu juga kes pada tahun 1980an yang melibatkan Tunku Mahkota yang menembak mati seorang lelaki selepas bergaduh di kelab malam dan kemudiannya diampunkan oleh ayahandanya yang merupakan seorang Sultan. 

Adakah dengan mengembalikan imuniti Raja-raja maka rakyat akan menghormati kepada institusi beraja di negara ini?Persatuan Kerabat Diraja Kedah mendakwa dengan adanya imuniti maka isu persenda Raja-Raja Melayu tak mungkin timbul. Majlis Perundingan Melayu pula mendakwa jika imuniti raja-raja dikembalikan maka institusi beraja akan terus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

Suka penulis ingatkan, institusi beraja itu memang dihormati oleh rakyat. Itu antara prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Hormat yang dimaksudkan ialah selagi Raja itu menghormati rakyat, selagi itu rakyat akan menghormati Raja. Kerana hormat itu juga lah rakyat menegur salah-laku yang dibuat oleh Raja-raja supaya institusi beraja itu terus dihormati. Pendedahan Malaysia in Crisis mengenai kehidupan bebas dengan bergelumang arak oleh Raja Muda Selangor juga adalah supaya bakal Ketua Agama Islam negeri Selangor itu sedar tanggungjawab yang bakal dipikul olehnya suatu hari nanti. Segala teguran diberikan mungkin sesetengah manusia berjiwa feudal dan berfikiran berpuluh tahun ke belakang anggap ianya suatu penghinaan tetapi hakikatnya adalah untuk menjadikan institusi beraja itu dihormati.



Izinkan penulis berkongsi komen seorang pembaca. Terima kasih diucapkan atas komen tersebut, penulis amat menghargainya. Dan izinkan penulis melontarkan satu persoalan. Adakah begitu mudah untuk terus menasihati Raja-raja Melayu ini atau dengan menggunakan wakil? Pernah berlaku peristiwa seorang wanita bernama Yasmin Mohd Yasin yang merupakan kekasih seorang Tunku Mahkota dipukul kerana mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Kepada siapa untuk mengadu nasib? Tiada satu pun balai polis di Johor yang sudi menerima laporan polis daripada mangsa. Kepada siapa lagi rakyat boleh mengadu jika polis pun tidak boleh diharap?



Menegur untuk Kemulian Sistem Beraja,



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.