`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 21, 2012

KTW TINANGOL BUKAN KELOLAAN TM MALAYSIA



Saudara Pengarang,


DENGAN segala hormatnya kami merujuk kepada artikel bertajuk 'TM Malaysia Bagai Pelacur Tua?'dalam laman Sabahkini.net bertarikh 16 November 2012 berkenaan perkhidmatan Internet jalur lebar di Kampung Tanpa Wayar (KTW) di Kampung Tinangol, Kudat, Sabah.

Untuk makluman, KTW diwujudkan sebagai salah satu inisiatif di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia termasuklah Telekom Malaysia Berhad (TM).
Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi asas buat masyarakat di desa atau luar bandar sambil salah satu usaha merapatkan jurang digital. KTW turut membolehkan penduduk di kawasan luar bandar menikmati perkhidmatan Internet jalur lebar bagi mengecapi gaya hidup digital dan seterusnya dapat mencapai hasrat Kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia rakyat yang celik ICT.

Bagaimanapun, selepas siasatan yang terperinci, pihak TM ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Internet jalur lebar di KTW Kampung Tinangol bukanlah di bawah pengendalian dan tanggungjawab pihak TM seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut, sebaliknya perkhidmatan di situ disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain. Justeru, kenyataan pengadu tersebut adalah kurang tepat.

Oleh itu, kami ingin memohon kerjasama pihak tuan agar menyiarkan penjelasan ini untuk manfaat semua pembaca laman Sabahkini.net bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Pihak TM juga ingin memohon kerjasama daripada pengendali laman Sabahkini.net untuk mendapatkan kepastian dan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak TM mengenai sebarang aduan dan permasalahan sebelum mengeluarkan sebarang penulisan di laman blog tersebut.

Pihak TM sedia membantu menyelesaikan isu-isu yang timbul berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan oleh TM.

TM amat menghargai segala sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh laman blog Sabahkini.net dan kami berharap hubungan baik antara kedua-dua pihak akan terus kekal.

Terima Kasih dan Salam Hormat.

Yang Benar,

KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN TM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.